Bau Busuk Akhirnya Bongkar Penemuan Mayat Dalam Kereta. | Tuaran: Bau busuk dari dalam kereta yang diparkir di Kampung Lakang, Tamparuli, di sini, hari ini, membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang.
Mayat John Maria Ambrose, 62, dari Kampung Tambalugu, Tamparuli ditemui orang awam pada 7.20 malam selepas usaha penduduk mencarinya dijalankan sejak semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, seramai tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
“Difahamkan, penduduk mencari mangsa sejak petang semalam sebelum bomba dimaklumkan mengenai kehilangannya dan segera menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Namun kira-kira dua jam kemudian, pasukan bomba menghentikan operasi sebaik menerima maklumat daripada polis mengenai penemuan mangsa dan disahkan meninggal dunia,” katanya.
Menurutnya, mayat diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Tuaran untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan pada jam 8.37 malam,” katanya dihubungi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, polis masih menyiasat sama ada unsur jenayah atau tidak.
Sumber : HM