KAJANG – Bekas pekerja sebuah syarikat jualan kenderaan yang bersenjatakan keris bertindak mengugut dan menjadikan jurujual wanita syarikat itu sebagai tebusan.

Tindakan itu dibuat kerana berang apabila syarikat berkenaan tidak membayar komisen jualan kereta seperti yang dijanjikan.

Majikan yang bergelut dengan suspek, cedera selepas terkena keris tetapi berjaya menangkap suspek dan menyerahkannya kepada polis yang tiba di lokasi tersebut di Jalan Semenyih Kawasan Perusahaan Beranang.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan itu pada jam 10.15 pagi pada 18 Mac lalu.

“Suspek menggunakan keris dan mengarahkan dua pekerja mengikutnya sebagai tebusan ke lokasi yang tidak pasti.

“Majikan pengadu cuba merampas senjata yang dipegang suspek lalu berlaku pergelutan dengan suspek itu sehingga dia luka di tangan akibat terkena keris tersebut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya, hasil pemeriksaan badan suspek, polis berjaya menjumpai dadah jenis Eramin 5 dan ujian air kencing suspek juga didapati positif.

Suspek kini telah ditahan reman selama empat hari bermula Ahad lalu sehingga 22 Mac ini bagi membantu siasatan lanjut polis dalam kes tersebut.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan jenayah terhadap mangsa dan mencederakan mangsa.

Suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Bangi esok serta bakal dituduh di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya kerana memiliki dadah jenis Eramin 5.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Sarjan Ahmad Faizal Hasan di talian 019-7691924 bagi membantu siasatan.

Sumber: FB Inforoadblock

Baca Juga: (VIDEO) Lelaki Tumbuk Dan Tarik Rambut Warga Emas Kerana Berang

Ampang: Gara-gara berang arahan memberhentikan kenderaan tidak diendahkan, lelaki bertindak menumbuk, menarik rambut dan menyepak seorang warga emas dalam kenderaannya di hadapan sebuah stesen minyak berhampiran sebuah pusat beli-belah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, semasa memandu di lampu isyarat Jalan Kolam Air Lama, mangsa iaitu seorang doktor berusia 67 tahun menyedari kenderaannya dilanggar dari arah belakang, jam 10.30 pagi, semalam.

“Apabila sampai di hadapan stesen minyak berkenaan, kenderaan mangsa dihalang dari arah hadapan oleh sebuah kereta Mercedes berwarna putih.

“Kemudian seorang lelaki turun dari kenderaan itu dan bertindak membuka pintu kereta mangsa lalu menumbuk muka bahagian kanan pipi, menarik rambut dan menyepak mangsa di bahagian pinggang menyebabkan dia berasa sakit.

“Kejadian itu dirakam oleh pengguna jalan raya lain yang kemudian ditularkan di media sosial, semalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, suspek berusia 27 tahun ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya selepas selesai memberi keterangan jam 9.45 malam tadi.

“Difahamkan, suspek bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan mangsa yang mengendahkan arahan untuk memberhentikan kereta semasa pelanggaran kenderaan berlaku.

“Semakan dilakukan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan hasil ujian saringan air kencing dijalankan ke atas lelaki itu didapati negatif.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat pada hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan atas kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan dan ugutan jenayah,” katanya.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply