Beli Durian Boleh, Tapi Jangan Anjur ‘Pesta Durian’ – Polis Perak | Setiap kali tiba musim durian ramai daripada kita bagaikan ‘hilang arah’ apabila mencium baunya apatah lagi sekiranya selonggok durian ada di depan mata.
Ipoh: Pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak menganjurkan sebarang perhimpunan, termasuk pesta durian semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata mereka mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan semua bentuk perhimpunan yang menyalahi SOP PKP.
“Ikut SOP memang tidak boleh. Hendak merentas negeri dan daerah pun tidak dibenarkan. Apatah lagi hendak buat pesta tertentu seperti pesta durian. Tidak kisah pesta apa-apa sekalipun, memang tidak dibenarkan.
“Saya menasihati semua agar dalam tempoh PKP 3.0, ini tiada sebarang aktiviti dibenarkan sama ada rasmi atau tidak rasmi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mior Faridalathrash berkata, orang ramai dibenarkan berniaga dan juga membeli, tetapi pesta durian tidak dibenarkan.
“Kita memahami negeri Perak khususnya, serta di seluruh negara sedang dalam musim durian dan semua orang nak makan durian. Namun, begitu guna saluran yang dibenarkan,” katanya.
Sementara itu, media melaporkan polis akan memanggil seorang penyanyi bergelar Datuk untuk diambil keterangan berhubung penularan gambar pelanggaran SOP PKP dalam majlis di ladang Kampung Poh, Bidor di sini pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata beberapa individu lain dipercayai peniaga dan penduduk kampung turut dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
Sumber: Berita Harian