Belum Reda Kisah Peniaga Burger Dikompaun 50 Ribu, Kini Peniaga Colek Juga Terima Nasib Yang Sama | Belum pun reda kisah peniaga burger dikenakan kompaun RM50,000 kerana beroperasi lebih masa malam kelmarin, seorang peniaga colek di Kampung Chekok Tengah, di sini, turut dikenakan kompaun membabitkan jumlah yang sama.

Belum Reda Kisah Peniaga Burger Dikompaun 50 Ribu, Kini Peniaga Colek Juga Terima Nasib Yang Sama

Mohd Azizi Mohd Nor, 42, yang berniaga colek pada sebelah malam sepanjang Ramadan di hadapan rumahnya mengakui terkejut apabila didatangi beberapa anggota polis, 11.20 malam kelmarin.

Katanya, tanpa bertanyakan maklumat lanjut terhadap dia dan isterinya, Nik Norwati Nik Loh, 38, anggota polis berkenaan terus menulis kompaun dengan jumlah RM50,000 bagi kesalahan beroperasi lebih masa.

“Saya terkejut sampai hilang kata-kata melihat jumlah yang perlu kami bayar. Sedangkan untuk mendapatkan RM100 setiap malam dengan berniaga colek pun agak sukar kerana hanya berniaga kecil-kecilan di kawasan kampung.

“Sebenarnya ketika anggota polis tiba, saya sudah menutup kedai pada 10 malam dan sebahagian lampu juga sudah ditutup.

“Cuma bahagian dapur sahaja belum ditutup kerana saya dan isteri sedang mengemas ketika itu dan sudah tentu mengambil masa agak lama.

“Pada masa sama saya sedang menggoreng keropok untuk anak-anak memandangkan mereka belum tidur,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Azizi berkata, dia mempunyai lima anak yang masih bersekolah, selain perlu menanggung tiga anak saudara, sudah tentu tidak mampu membayar jumlah kompaun berkenaan.

“Jangan kata RM50,000, jika dikurangkan RM10,000 pun saya tidak mampu dan disebabkan tidak mampu serta tiada pilihan lain, saya lebih memilih untuk masuk penjara.

“Saya agak kecewa kerana ini kali pertama saya dikenakan kompaun tetapi sudah dikenakan RM50,000.

“Saya bekerja sebagai mekanik selain membantu isteri berniaga mi celup pada hari biasa.

“Cuma setiap kali Ramadan sejak empat tahun lalu, saya dan isteri berniaga colek pada waktu malam,” katanya.

Katanya, disebabkan buntu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan, dia sudah ke Pejabat Kesihatan Daerah semalam untuk membuat rayuan dan sehingga kini mereka masih buntu dengan apa yang berlaku.

“Sejak malam kelmarin, saya dan isteri masih buntu sehingga tidak mampu tidur malam memikirkan nasib yang menimpa kami.

“Saya juga berharap ada pihak yang tampil membantu,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat memaklumkan, pihaknya mengambil pendekatan untuk meneliti kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadap tiga peniaga termasuk peniaga burger di sini, malam kelmarin.

Beliau berkata, pihaknya akan memanggil semula orang yang dikenakan kompaun (OKK) membabitkan tiga peniaga itu.

Katanya, peniaga berkenaan akan dipanggil untuk ditawarkan nilai kompaun mengikut garis panduan (Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun) yang ditetapkan bagi kesalahan mengikut Akta 342 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Sumber : Harian Metro

Share.

Leave A Reply