Benarkah Situasi Perang Di Ukraine Hanya Lakonan Semata-Mata? | Aliran maklumat palsu dan mengelirukan tentang konflik di Ukraine didakwa semakin meningkat malah kini muncul pula beberapa teori tidak masuk akal yang dikongsi di media sosial selepas kempen pencerobohan di Rusia masuk minggu kedua.

Ada pihak turut mendakwa peperangan tersebut hanyalah ‘olok-olok’, rekaan media atau sengaja diperbesar-besarkan Barat walaupun media arus perdana sentiasa melaporkan perkembangan terkini operasi ketenteraan tersebut.

BBC menerusi laporan mereka mendedahkan rakaman video yang memaparkan seorang pemuda dengan wajahnya berlumuran darah palsu yang meraih jutaan tontonan di pelbagai platform sebenarnya tiada kaitan dengan peperangan tersebut.

“Ia adalah gambar yang diambil di sebuah set penggambaran siri TV di Kiev berjudul Contamin yang pernah dikongsi di Twitter pada Disember 2020,” jelas agensi berita tersebut merujuk kepada dakwaan palsu yang menuduh individu tersebut sebagai ‘aktor krisis’ yang diupah untuk melakonkan adegan serangan di Kiev.

Selain itu, terdapat juga dakwaan palsu tentang ‘mayat bergerak’ yang disebarkan secara meluas oleh penyokong pro-Kremlin yang cuba membuktikan peperangan di Ukraine adalah olok-olok dan diuar-uarkan oleh propaganda Barat.

Menurut BBC, rakaman video itu adalah ketika insiden protes anjuran kumpulan aktivis pencinta alam di Vienna pada awal Februari lalu dan ‘beg mayat’ tersebut menjadi simbol untuk menunjukkan kesan bahaya pelepasan karbon terhadap manusia.

Tangkapan layar menunjukkan dua rakyat Ukraine memegang senapang kayu juga menjadi ‘sasaran’ penyebaran maklumat palsu sedangkan rakaman itu sebenarnya bertarikh pada pertengahan bulan lalu ketika latihan diberikan kepada orang awam di bandar Kharkiv sebagai persediaan untuk menghadapi pencerobohan Moscow.

Sebuah rakaman memaparkan adegan sekumpulan orang ramai berlari dan menjerit ketakutan mengikut ‘arahan’ seorang pengarah yang didakwa berlaku di Ukraine turut menjadi tular selepas beberapa pihak mendakwa rangkaian media sengaja mereka situasi tegang di Kiev.

Hasil siasatan BBC mendapati, ia adalah babak dalam filem sains fiksyen berjudul Invansion Planet Earth yang dirakamkan di Dataran Victoria di Birmingham pada 2013.

Pengarahnya, Simon Cox juga nyata terkejut melihat klip tersebut disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Difahamkan, terdapat banyak lagi teori pelik yang cuba mencetuskan kekeliruan selain menyebarkan maklumat salah tentang krisis di Ukraine yang sememangnya benar-benar berlaku dan bukan hanya rekaan semata-mata. – Agensi

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply