Kementerian Kesihatan menjelaskan tidak sesuai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada musim tengkujuh kerana pelbagai kekangan.

Buat PRU15 Ketika Musim Banjir, Ini Pendapat Dari KJ

Selain memerlukan kos tinggi, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata biasanya apabila banjir, banyak tenaga kerja yang diperlukan pada PRU akan dikerahkan untuk menjaga pusat pemindahan sementara (PPS) dan pemindahan mangsa bencana berkenaan.

Selain itu, beliau berkata, kemudahan yang akan digunakan untuk proses pengundian juga ada antaranya menjadi PPS untuk menempatkan mangsa banjir.

“Lazimnya, kita elak pilihan raya pada waktu banjir. Ini ambil kira faktor keselamatan, tenaga kerja dan faktor kesihatan.

“Apabila berlaku banjir, akan ada peningkatan penyakit berjangkit, penyakit bawaan air akan meningkat, macam-macam penyakit berjangkit. Itu memerlukan rawatan dan tidak termasuk demam, selesema.

“Bagi KKM memanglah dari segi kesesuaian pilihan raya waktu banjir tak sesuai,” katanya pada sidang media pencapaian satu tahunnya sebagai Menteri Kesihatan, di sini, semalam.

Pada 17 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan, berkata tarikh pembubaran Parlimen akan diumumkan tidak lama lagi untuk memberi laluan kepada PRU-15.

Ditanya sama ada KKM mengemukakan cadangan waktu yang sesuai untuk mengadakan PRU-15 kepada kerajaan, Khairy berkata, perkara itu ada dibincangkan secara umum namun ia terpulang kepada Perdana Menteri.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November yang mendorong kepada banjir besar pada penghujung bulan itu.

MetMalaysia menjangkakan, impak cuaca yang dialami lebih signifikan memandangkan monsun timur laut yang aktif pada tempoh itu sekali gus risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.

Sumber : BH

Share.

Leave A Reply