Kuantan: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang menasihati orang ramai supaya tidak menghampiri sebatang jalan yang juga lokasi terakhir seekor buaya tembaga dilihat di Kampung Air Hitam di sini, kelmarin.

Pengarah Perhilitan Pahang Rozidan Md Yasin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan reptilia itu berada di kawasan semak di situ, yang kini ditenggelami banjir.

Menurutnya, kakitangan Perhilitan daerah sudah meninjau kawasan terbabit sebelum sebarang tindakan dibuat.

“Semalam, kita dapati ramai remaja dan kanak-kanak berada di kawasan itu bagi melihat lebih dekat sambil bermain air di lokasi buaya berkenaan ditemui.

“Kami minta orang ramai supaya tidak berada di lokasi itu bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Saya juga mengingatkan penduduk Kampung Air Hitam supaya lebih berhati-hati, paras air banjir yang meningkat di kawasan terbabit membolehkan buaya bergerak bebas dan muncul di mana-mana,” katanya semalam.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau kawasan terbabit secara berterusan.

Rozidan menambah, Perhilitan mengenal pasti 10 kawasan penempatan penduduk di daerah ini yang terletak berhampiran Sungai Kuantan dan Sungai Belat yang sering dikejutkan dengan kemunculan buaya tembaga.

Menurutnya, tiga kawasan yang hampir dengan Sungai Kuantan ialah Kampung Belukar, Kampung Kurnia dan Kampung Jawa. Tujuh kawasan yang hampir dengan Sungai Belat ialah Kampung Seri Damai, Kampung Air Hitam, Taman Seri Inderapura, Kampung Razali, Kampung Belukar, Kampung Kurnia dan perumahan Sungai Isap.

Sementara itu, penduduk Kampung Air Hitam, Abu Sufian Husin, 54, berkata, kemunculan buaya tembaga itu menggemparkan penduduk.

Katanya, walaupun banjir melanda kawasan berkenaan hampir setiap tahun namun kemunculan buaya tidak pernah direkodkan.

“Reptilia ini mungkin tersesat. Buaya itu dilihat berada di atas jalan berkenaan dua malam berturut-turut dan masuk ke kawasan semak yang ditenggelami banjir akibat kehadiran orang ramai.

“Penduduk berharap Perhilitan dapat menangkap buaya itu bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Sumber: Harian Metro

 

Baca Juga: Buaya Lapan Kaki Masuk Rumah Cari Makanan | Di sebuah kampung Jaitai, Etawah, di Uttar Pradesh, India, seekor buaya masuk ke dalam rumah untuk mencari makanan hingga mengejutkan sebuah keluarga yang sedang tidur lena.

Kejadian itu berlaku sekitar pada jam 10:30 malam pada 29 Oktober baru-baru ini apabila keluarga berkenaan dikejutkan dengan bunyi kambing.

Lebih mengejutkan mereka adalah apabila mereka menjumpai buaya lebih kurang lapan kaki berhampiran dengan kambing tersebut.

Kemudian, keluarga itu terus bertindak pantas menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan.

Pihak polis menyarankan mereka untuk mengunci rumah bagi memudahkan proses untuk menangkap reptilia tersebut.

Disebabkan kejadian tersebut, keluarga mangsa sanggup berjaga sepanjang malam bagi memastikan buaya itu terkunci di dalam rumah.

Sementara itu, Jabatan Hidupan Liar tiba di tempat kejadian sekitar 6 pagi keesokannya dan terus memulakan operasi menyelamat.

Dr Ashish Tripathi, Jurucakap Jabatan Hidupan Liar menasihatkan polis supaya mengurung buaya tersebut di dalam rumah.

Menurut The Independent, pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira  1 jam untuk menangkap buaya itu.

Singh menyatakan bahawa mereka tidak tahu bagaimana buaya itu boleh masuk ke dalam rumah. Apabila mereka mendengar bunyi kambing pada waktu malam, mereka sedar ada sesuatu yang tak kena dan menemui seekor buaya.

Imbas kembali semasa kejadian, ibu mangsa mula menjerit sejurus mereka menemui reptilia tersebut.

Anak perempuannya yang terkejut, lantas membuka pintu biliknya untuk memastikan keadaan yang sebenar, tetapi tiba-tiba buaya tersebut meluru masuk ke dalam biliknya.

Disebabkan jeritan, jiran-jiran mula berkumpul di sekeliling rumah. Malah, penduduk kampung turut berjaga bersama keluarga itu sehingga bantuan tiba pada awal pagi keesokan harinya.

Menurut Dr Tripathi, buaya tersebut bukanlah buaya dewasa tetapi hanya buaya remaja yang pergi keluar mencari makanan.

Doktor menyatakan bahawa mereka memeriksa buaya itu dan mendapati ia sepanjang lapan kaki manakala umurnya antara 1.5 hingga dua tahun.

Beliau bertambah lagi, penduduk kampung sangat takut tetapi mereka memutuskan untuk tidak menjalankan operasi menyelamat pada waktu malam kerana buaya ini sangat agresif.

Menurut Dr Tripathi, reptilia ini berasal dari air tawar berhampiran dan ia dilepaskan semula ke habitatnya.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply