China membuka semula sempadannya pada Ahad selepas tiga tahun sekatan yang dilaksanakan berikutan pandemik COVID-19.

China Buka Sempadan Semula Lepas 3 Tahun

Pada 26 Dis Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China mengumumkan tahap COVID-19 diturunkan daripada Kelas A kepada Kelas B.

COVID-19 telah ditukar daripada “pneumonia novel coronavirus” kepada “novel coronavirus infection,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan suruhanjaya kesihatan itu.

Selain itu, China tidak akan mengenakan kuarantin ke atas mereka yang memasuki negara itu dan pesakit COVID-19 selain menarik balik dasar ketat “sifar-COVID-19”.

Bagaimanapun, negara itu menghadapi peningkatan kes COVID-19 sejak beberapa minggu lalu.

Beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Itali, Sepanyol, Perancis, Maghribi, Qatar, Kanada, Greece, Malaysia, Finland dan Belanda telah mengumumkan mengenai keperluan keputusan ujian negatif COVID-19 kepada mereka yang tiba dari China.

Sementara itu, Jerman pada Sabtu menasihatkan rakyatnya tidak melakukan perjalanan yang tidak penting ke China dan mengklasifikasikan negara itu sebagai “kawasan ancaman varian virus” disebabkan gelombang COVID-19 yang sedang melanda di China.

China pada Jumaat menyatakan bahawa situasi COVID-19 di negara itu terkawal dan banyak negara anggota EU mengalu-alukan pelancong China.

Mengulas mengenai pertauran yang dikenakan sesetengah negara terhadap pelancong yang datang dari China, jurucakap Kementerian Luar Mao Ning berkata semua langkah tindak balas terhadap COVID-19 harus berdasarkan sains dan fakta serta setara.

“Seharusnya tidak ada percubaan untuk mempolitikkan isu itu atau mengamalkan amalan diskriminasi yang boleh menjejaskan hubungan antara rakyat,” kata Mao kepada pemberita.

Beliau berkata pakar China turut menghadiri taklimat dalam talian Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk memberikan maklumat terkini mengenai pandemik itu.

Sumber: Bernama

BERITA BERKAITAN.. 

China menggantung dan menyekat lebih 1,000 akaun media sosial yang mengkritik kerajaan mengenai dasar COVID-19, termasuk akaun yang memiliki jutaan pengikut.

China Buka Sempadan Semula Lepas 3 Tahun

Platform media sosial Weibo memaklumkan sudah menggantung atau menyekat akaun berkenaan yang dikatakan membuat serangan peribadi terhadap pakar COVID-19 China, namun tidak memperincikan akaun mana yang berbuat demikian.

Bulan lalu, China membatalkan dasar ketat sifar COVID-19, sekali gus menyaksikan lonjakan kes jangkitan dan kematian.

Sebelum ini, kritikan di media sosial tertumpu pada penguatkuasaan ketat itu, termasuk perintah berkurung yang memaksa penduduk berada di rumah selama berminggu-minggu.

Namun, kritikan media sosial baru-baru ini mula terarah kepada kumpulan pakar perubatan yang mempertahankan keputusan kerajaan China yang secara tiba-tiba menamatkan sekatan ketat COVID-19, meskipun menyokong dasar itu hanya beberapa minggu sebelum ini.

Menurut Weibo, hampir 13,000 pelanggaran peraturan dikesan di platform media sosial itu, termasuk serangan terhadap pakar, ahli akademik dan petugas kesihatan, namun penggantungan atau sekatan kekal hanya dikenakan pada 1,120 akaun setakat ini, lapor agensi berita BBC.

“Kita tidak boleh menerima tindakan menghina pada pihak yang memiliki pandangan berbeza, atau menghamburkan serangan peribadi dan pandangan yang mencetus konflik.

“Sebarang tindakan yang dilihat merosakkan pada komuniti Weibo akan dikenakan tindakan serius,” kata Weibo dalam satu kenyataan.

Sejak menamatkan beberapa sekatan utama dalam dasar sifar COVID-19, terdapat beberapa laporan mengenai kesesakan di hospital dan krematorium.

Pada masa sama, China sudah berhenti menerbitkan data kes harian dan hanya mengumumkan 22 kematian akibat COVID-19 sejak bulan lalu.

Tempoh sambutan 40 hari perayaan sambutan Tahun Baharu Cina yang bermula semalam, dikhuatiri mencetus gelombang jangkitan baharu, dengan Kementerian Pengangkutan China menjangkakan pergerakan dua bilion individu sepanjang tempoh berkenaan, menyaksikan peningkatan 99.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bermula hari ini, China juga membatalkan keperluan untuk pengunjung luar negara untuk menjalani kuarantin, sekali gus ramai rakyat China boleh ke luar negara buat pertama kali dalam tempoh hampir tiga tahun.

Sumber: BH

Share.

Leave A Reply