China pada Isnin, mengutuk negara yang mengenakan syarat ujian COVID-19 baharu ke atas penumpang warganegaranya yang melakukan perjalanan ke luar negara
Sehubungan itu, Beijing memberi amaran bahawa pihaknya boleh mengambil tindak balas terhadap langkah sebegitu.
Antara negara yang mengenakan syarat berkenaan adalah Amerika Syarikat (AS), Kanada, Perancis dan Jepun yang mewajibkan pelancong dari China untuk mengemukakan ujian negatif COVID-19 sebelum ketibaan, susulan negara itu mengalami lonjakan kes.
Jurucakap Kementerian Luar, Mao Ning, berkata tindakan negara berkenaan dibuat tanpa asas saintifik selain tidak boleh diterima.
“Sesetengah negara mengambil sekatan kemasukan yang menyasarkan hanya pengembara China.
“Ini tidak mempunyai asas saintifik dan beberapa amalan tidak boleh diterima,” tegasnya.
Situasi COVID-19 di China menyaksikan peningkatan mendadak kes jangkitan selepas bertahun-tahun mengenakan sekatan ketat menerusi dasar sifaf COVID-19 dan ia dilonggarkan secara tiba-tiba bulan lalu.
Pada Disember tahun lalu, Beijing mengumumkan pengembara ‘inbound’ tidak lagi perlu dikuarantin, menyebabkan ramai warganya bergegas merancang perjalanan ke luar negara setelah sekian lama menunggu peluang itu.
Negara yang mendakwa ketidaktelusan mengenai data jangkitan dari China dan kemunculan risiko varian baharu menjadi punca mengapa pengembara republik itu disekat.
China merekodkan hanya 22 kematian berkaitan COVID-19 sejak Disember, selepas dikatakan mengecilkan kriteria untuk mengkategorikan kematian itu.
Sumber : Berita Harian
ARTIKEL LAIN YANG MENARIK UNTUK DIBACA
Maghribi Bakal Larang Kemasukan Pengunjung Dari China
Maghribi bakal mengenakan larangan masuk kepada pelancong dari China mulai 3 Jan berikutan peningkatan kes Covid-19, menurut kenyataan Kementerian Luar pada Sabtu.
“Pihak Berkuasa Maghribi memutuskan untuk melarang akses ke wilayah Maghribi kepada semua pengembara yang datang dari China tanpa mengira kewarganegaraan mereka,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan kementerian itu.
Keputusan itu dibuat untuk mengelakkan gelombang penularan baru di negara itu.
Sementara itu, Kanada mengumumkan pada Sabtu, penumpang yang datang dari China, Hong Kong dan Macao perlu menyerahkan keputusan ujian saringan Covid-19 yang negatif sebelum menaiki penerbangan ke negara itu.
Kementerian Kesihatan Kanada menyatakan bahawa semua pengembara udara dari lokasi itu “perlu memberikan bukti keputusan ujian Covid-19 negatif kepada syarikat penerbangan sebelum menaiki pesawat dan ujian saringan itu mesti diambil tidak lebih daripada dua hari sebelum berlepas.”
Keputusan itu tertakluk kepada pengembara berumur dua tahun dan ke atas berkuat kuasa 5 Jan.
Langkah itu akan dilaksanakan selama 30 hari dan pihak berkuasa akan menilai semula apabila lebih banyak data dan bukti tersedia.
Keputusan itu dibuat selepas lonjakan kes dan “data jujukan genom epidemiologi dan virus yang terhad pada kes ini,” menurut Kementerian Kesihatan.
Sebelum ini Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Itali dan Sepanyol turut akan menguatkuasakan keperluan perjalanan baru untuk mereka yang datang dari China termasuk keputusan ujian negatif Covid-19.
China baru-baru ini mengumumkan akan mula melonggarkan langkah pencegahan pandemik dan memilih “hidup bersama Covid” selepas tiga tahun sekatan, sempadan ditutup dan kuarantin wajib.
Sumber : KMN