PONTIAN – Gara-gara menghadapi masalah kewangan, seorang lelaki ditahan kerana membuat laporan palsu mendakwa disamun oleh dua lelaki di Jalan Parit Kassim, di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, pengadu yang berusia 30 tahun itu kemudian telah membuat laporan polis yang mendakwa telah diacukan senjata berupa pisau ke arah dirinya.
Katanya, selain itu pengadu mendakwa kedua-dua lelaki tersebut telah mengambil wang tunai sebanyak RM300 dan sebuah jam tangan jenama ‘G- Shock ‘.
“Hasil siasatan yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Pontian, lelaki tersebut ditahan kerana didapati telah membuat satu laporan palsu.
“Pengadu telah mengalami masalah kewangan dan gagal mengikuti kehendak isterinya yang meminta duit serta gagal menunjukkan lokasi sebenar kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Semalam tular di media sosial laporan polis yang dibuat oleh pengadu seorang penghantar makanan mendakwa telah ditahan oleh dua lelaki berbangsa India dengan menaiki motosikal Yamaha Lagenda berwarna kuning tanpa nombor pendaftaran.
Laporan polis tersebut mendakwa kejadian berlaku pada pukul 9.30 pagi ketika pengadu melalui Jalan Parit Kassim menuju ke destinasi yang tidak dinyatakan dari rumah kediamannya di Taman Sri Pinang, Jalan Parit Mesjid.
Pengadu menyebut salah seorang lelaki telah menarik jaket pengandu sehingga terkoyak dan memaksa pengadu mengeluarkan dompet dan seorang lagi telah mengeluarkan senjata berupa pisau.
Tambah Mohammad Shofee, pengadu akan disiasat dibawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman 6 bulan penjara atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Sumber: Kosmo
Baca Juga: Kes Anak Didera Di Madrasah, Suri Rumah Didakwa Buat Laporan Palsu
Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan membuat laporan polis palsu berhubung sebuah madrasah pemulihan dadah kendalian sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini pada 21 Ogos lalu.
Tertuduh, Zuraina Zamri, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret, Mohamad Redza Azhar Rezali.
Berdasarkan pertuduhan, Zuraina didakwa membuat laporan dengan memberikan maklumat secara bertulis iaitu laporan polis Sri Muda yang diketahuinya palsu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.45 tengah malam di Balai Polis Taman Sri Muda, Seksyen 25 pada 21 Ogos.
Justeru dia didakwa telah melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum enam bulan atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.
Elyza Amira juga meminta agar tertuduh tidak membuat sebarang kenyataan media supaya tidak mengganggu perjalanan kes serta saksi awam.
Manakala peguam bela yang mewakili tertuduh, Datuk Wan Azmir Wan Majid, memohon jaminan dikurangkan kerana Zuraina hanya suri rumah, manakala suaminya berpendapatan bulanan RM3,000.
Majistret kemudian membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin, selain melarang tertuduh mengeluarkan kenyataan media yang boleh mengganggu kes dan perbicaraan yang adil, sebelum menetapkan 15 November ini untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pada 21 Ogos lalu, wanita itu membuat laporan bahawa anaknya yang berusia 20 tahun yang menghuni madrasah itu dipukul, ditumbuk dan kepala diketuk oleh warden serta mahu mengeluarkan anaknya daripada tempat itu.
“Hasil siasatan polis mendapati, anak pengadu dihantar ke Madrasah Darussolihin selama empat bulan bagi menjalani rawatan pemulihan ketagihan dadah.
“Pada 23 Ogos lalu, anak wanita berkenaan membuat laporan polis menyatakan dia tidak dipukul oleh pihak madrasah bagaimanapun, pada 25 September, pemuda itu sekali lagi membuat laporan polis mengatakan dia dipukul oleh pihak madrasah.
“Pemeriksaan lanjut dibuat terhadap mangsa di Hospital Shah Alam dan mendapati tiada sebarang kecederaan pada mangsa,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kes sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya dan diputuskan ‘No Further Action’ (tiada tindakan lanjut) terhadap kes berkenaan.
“Manakala wanita itu pula dituduh mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana didapati membuat laporan dan memberikan maklumat palsu kepada polis, dengan niat menyebabkan penjawat awam (polis) menggunakan kuasa di sisi undang-undang yang boleh mendatangkan bencana kepada seseorang yang lain (pihak madrasah),” katanya.
Sumber: KMN