China, Russia Bekalkan Senjata Untuk Serang Orang Awam Di Myammar. | GENEVA: Anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), China dan Russia termasuk Serbia didakwa terus membekalkan senjata kepada tentera junta Myanmar, yang digunakan untuk menyerang orang awam sejak rampasan kuasa negara Asia Tenggara itu tahun lalu.
Pelapor khas PBB mengenai situasi hak asasi di Myanmar, Tom Andrew, menggesa Majlis Keselamatan mengadakan sesi sidang kecemasan ‘bagi berdebat dan mengundi satu resolusi untuk meminimumkan, melarang pemindahan senjata kepada tentera Myanmar yang disyaki digunakan untuk menyerang dan membunuh rakyat negara itu’.
Beliau menyiarkan laporan panjang yang ditunggu-tunggu hari ini, memperincikan di mana sumber junta memperoleh senjata dan menyenaraikan dua anggota tetap Majlis Keselamatan yang mempunyai kuasa veto kekal antara pembekal utama.
“Walaupun bukti jenayah kekejaman tentera junta dilakukan bebas tanpa hukuman sejak melancarkan rampasan kuasa tahun lalu, anggota Majlis Keselamatan PBB, iaitu Russia dan China terus membekalkan tentera junta Myanmar dengan banyak jet pejuang, kenderaan berperisai dan dalam kes Russia… menjanjikan senjata seterusnya,” kata Andrews dalam satu kenyataan.
“Pada tempoh masa sama, Serbia membenarkan eksport roket dan artileri kepada ketenteraan Myanmar,” kata Andrews merangkap pakar bebas dilantik oleh Majlis Hak Asasi PBB tetapi tidak bercakap atas kapasiti agensi dunia itu.
“Adalah mustahak buat negara anggota dan Majlis Keselamatan bertindak segera untuk menghentikan penjualan senjata kepada tentera junta. Nyawa manusia dan kredibiliti Majlis Keselamatan terpalit risiko.
“Oleh itu, Majlis Keselamatan patut mempertimbangkan sekurang-kurangnya satu resolusi untuk melarang senjata digunakan tentera Myanmar untuk membunuh orang tidak bersalah,” katanya.
Myanmar berada dalam situasi huru-hara, ekonomi lumpuh dan lebih 1,500 orang awam dibunuh semasa pertempuran dengan tentera sejak pemberontakan kilat meletus pada Februari 2021, menurut kumpulan pemantau tempatan.
Sumber: BH