Bapa kepada salah seorang pemain bola tampar yang ditampar jurulatih memohon netizen menghentikan segala kecaman terhadap individu itu.

Cikgu Tampar Pelajar. Bapa Mahu Netizen Henti Kecam Jurulatih

Juruteknik kilang, Abd Halim Bakar, 50, berkata, apa yang berlaku mungkin sedikit kesilapan jurulatih berkenaan namun mengakui tamparan yang dilakukan tidak sehingga mendatangkan kecederaan kepada anaknya yang berusia 14 tahun.

Menurutnya, malah anaknya lebih merisaukan keadaan jurulatih itu kerana telah banyak mengorbankan wang ringgit dan masa untuk memastikan sukan bola tampar terus membangun.

Katanya, bukan seorang bakat anaknya yang digilap jurulatih berkenaan, malah anak yang berada di Tingkatan Empat turut diasah bakat oleh individu terbabit.

“Daripada tak tahu tentang bola tampar, sampai sekarang anak-anak saya telah dapat mewakili Melaka ke kejohanan bola tampar, sedangkan anak saya bersekolah kampung sahaja.

“Kadang kala mereka tak ada tempat nak berlatih, sampai ke kawasan tanah merah tapi jurulatih mereka tetap membantu dan berkorban masa untuk mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Melekek di sini pada Selasa.

Tambah bapa kepada lima orang anak itu, dia juga telah bertanya kepada rakan anaknya yang turut ditampar jurulatih terbabit dan remaja itu juga menganggap tamparan biasa dan tidak sehingga menyakitkan mereka.

Ujar Abd Halim, anaknya bimbang sekiranya guru lelaki berkenaan dikenakan sebarang tindakan hingga tidak lagi menjadi jurulatih mereka memandangkan individu itu benar-benar ikhlas untuk melihat sukan bola tampar mampu menaikkan nama negeri Melaka.

Katanya, sejak anaknya bersekolah rendah lagi mereka telah berlatih dengan jurulatih tersebut sehinggalah sekarang anaknya berada di sekolah menengah.

“Anak sedih sebab itu jurulatih mereka dan mereka rayu tolong jangan ambil apa-apa tindakan, mereka sayang cikgu itu.

“Memang tak nak ambil tindakan pada cikgu yang banyak berbakti pada Melaka terutama bola tampar dan kami pun tidak berniat untuk membuat laporan polis,” katanya lagi.

Jelasnya, individu itu juga telah berhubung dengannya dan memohon maaf malah berhasrat untuk berjumpa serta membuat permohonan maaf secara terbuka.

Kata Abd Halim, dia turut berasa pelik apabila insiden yang berlaku pada 16 Disember lalu di Johor tular selepas pasukan anaknya berjaya ke peringkat separuh akhir di Selangor yang mana ketika itu pasukan bola tampar Melaka mendapat tempat keempat.

“Pelik selepas dua minggu baru tular, namun tindakan netizen buat dia takut dan dia ambil masa sesuai untuk tenangkan jiwa.

“Dia (jurulatih) hubungi saya, dan dia bersedia datang minta maaf untuk bersihkan namanya,” katanya.

Sumber: SH

Berita Berkaitan..

Jurulatih Bola Tampar 14 Tahun Melaka sudah Mohon Maaf

Keputusan sama ada menggantung tugas jurulatih pasukan bola tampar Wanita Melaka Bawah 14 Tahun (B14) berhubung insiden menampar dua pemainnya akan diputuskan selepas mesyuarat pasca Exco, pada Rabu ini.

Jurulatih Bola Tampar 14 Tahun Melaka sudah Mohon Maaf

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam berkata, setakat ini tiada tindakan diambil Majlis Sukan Negeri Melaka (MSN) terhadap jurulatih berkenaan meskipun Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) sudah memutuskan tindakan menggantung guru terbabit dalam semua aktiviti bola tampar kebangsaan.

Katanya, pihaknya perlu mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut daripada semua pihak walaupun laporan penuh kejadian itu sudah dihantar kepada MSN semalam dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) esok.

“Rabu ini selepas mesyuarat pasca Exco, saya akan panggil jurulatih, dua pemain berkenaan, wakil MSN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), pengurusan pertandingan, Persatuan Bola Tampar Negeri Melaka (PBTNM) dan beberapa lagi pihak terbabit untuk meneliti apakah ada tindakan selanjutnya akan diambil seperti diputuskan MAVA.

“Jika semuanya diselesaikan dengan cara baik, tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap jurulatih terbabit.

“Saya selaku Exco bertanggungjawab akan lakukan yang terbaik untuk selesaikan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan MAVA semalam yang menggantung sementara jurulatih terbabit yang tular kerana menampar dua pemainnya ketika Kejohanan Remaja B-14 di Kota Tinggi, Johor pada 14 hingga 16 Disember lalu.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Kementerian Pendidikan yang membidas tindakan jurulatih.

Mengulas lanjut, Shanmugam berkata, sebenarnya isu berkenaan sudah selesai pada hari kejadian 16 Disember lalu apabila jurulatih memohon maaf kepada dua pemain itu sejurus tamat saingan separuh akhir itu.

Katanya, jurulatih yang juga guru sebuah sekolah menengah di sini juga menemui kedua-dua ibu bapa pemain terbabit bagi memohon maaf atas insiden itu serta menjelaskan perkara yang sebenarnya terjadi.

“Saya anggap perkara ini sudah diselesaikan apabila ibu bapa dan pemain menerima permohonan maaf jurulatih itu secara sukarela dan tidak membuat sebarang laporan polis,” ujarnya.

Sumber: HM

Share.

Leave A Reply