Covid-19. Ini Nasihat Keras Mufti Pahang Terhadap Peserta Ijtimak Tabligh | Kini wabak Covid-19 di Malaysia sudah cecah 428 kes, takkan sampai cecah ribuan angka baru nak national lockdown. Terkini ini nasihat keras mengejutkan Mufti Pahang terhadap peserta Ijtimak Tabligh. Baca selanjutnya.

Peserta Ijtimak Tabligh Tidak Solat Berjemaah Di Surau, Masjid

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman menasihatkan semua peserta program tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur agar tidak menyertai solat berjemaah di masjid atau surau di negeri itu, sehingga disahkan bebas dari Covid-19.

Beliau berkata permintaan itu dibuat sebagai langkah kawalan dan pencegahan kepada penularan Covid-19 selepas terdapat peserta program itu disahkan positif penyakit berkenaan.

Katanya, ketetapan itu juga berpandukan nasihat Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Bahari Awang Ngah yang dipersetujui Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri.

“Mereka yang mempunyai simptom yang dikaitkan dengan Covid-19 terutamanya yang telah menghadiri program tersebut, diminta menunaikan solat di rumah kerana mereka termasuk dalam kategori tiga keuzuran untuk ke masjid iaitu sakit, takut dan hujan yang terlalu lebat.

“Kita juga berharap peserta program tabligh tampil membuat saringan kesihatan di pusat kesihatan daerah atau hospital terdekat untuk menentukan tahap kesihatan mereka,” katanya semasa dihubungi Bernama, pada Sabtu.

Abdul Rahman berkata semua masjid di Pahang juga diminta untuk menangguhkan program yang melibatkan orang awam termasuk kuliah dan buat sementara waktu, diimarahkan dengan solat fardu oleh mereka yang sihat sahaja.

Bagi mengurangkan risiko jangkitan, Abdul Rahman juga tidak menggalakkan jemaah untuk bersalaman pada waktu ini selain pengurusan masjid yang berkemampuan boleh menyediakan cecair pembasmi kuman.

“Selain arahan untuk membaca Doa Qunut Nazilah pada solat Subuh dan solat Jumaat, kita juga menggalakkan pengurusan masjid untuk mengadakan solat hajat memohon dijauhkan daripada penularan penyakit ini,” tambahnya. – BERNAMA

Sumber: Mstar

Share.

Leave A Reply