Ipoh: Perak melaporkan empat kes penyakit demam babi Afrika (ASF) melibatkan dua daerah dari Disember hingga awal tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A Sivanesan.

Beliau berkata, tiga kes positif ASF dikesan pada ternakan babi komersial iaitu satu di ladang di Bidor (daerah Batang Padang) dan dua lagi di Sungai Siput (daerah Kuala Kangsar) antara Disember dan 3 Januari lalu.

“Pada 13 Januari, satu lagi kes positif ASF dikesan di daerah Kuala Kangsar. Kes dikesan hasil survelan dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak dalam radius 10 kilometer (km) dari ladang yang dijangkiti.

“Ladang terlibat yang terletak di mukim Sungai Siput telah dikuarantin dan tindakan pemusnahan serta pelupusan baki ternakan babi di ladang itu akan dijalankan pada 17 Jan ini secara berperingkat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Menurutnya, kes terbaharu itu menjadikan jumlah kes positif ASF di Perak adalah 11 kes sejak tahun lalu iaitu satu kes di Hilir Perak, Batang Padang (lima), Kerian (dua) dan Kuala Kangsar (tiga).

Sivanesan berkata, 12.1 peratus daripada keseluruhan 91 ladang babi di negeri ini telah dijangkiti ASF dan jumlah babi yang dilupuskan sebanyak 8,488 ekor melibatkan kerugian dialami penternak dianggarkan RM12 juta.

Beliau berkata, kesemua ladang yang disyaki dan disahkan dijangkit ASF telah dikenakan tindakan kuarantin, selain sekatan pergerakan di semua ladang yang terletak dalam dua km radius dari ladang terlibat dan ladang yang menggunakan kenderaan lori pengangkut babi yang sama sehingga survelan selesai.

Menurutnya, kesemua penternak babi dinasihatkan meningkatkan biosekuriti ladang bagi mengelakkan dijangkiti ASF dan menghubungi JPV jika terdapat kematian babi hutan atau babi komersial di kawasan mereka untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini, bekalan daging babi di Perak adalah terkawal dan saya akan mengadakan perjumpaan bersama persatuan penternak dan pengarah JPV negeri untuk berbincang mengenai masalah ini kerana kemungkinan berlaku kekurangan bekalan sekiranya tidak ditangani segera.

“Kesemua ladang perlu ditukar kepada sistem penternakan moden yang tertutup, tetapi di Perak hanya 20 peratus daripada keseluruhan ladang yang sudah melaksanakannya dan kita jangka banyak ladang terpaksa ditutup sekiranya gagal berbuat demikian,” katanya.

Sumber: Harian Metro

 

Baca Juga: Selangor Masih Bebas Penyakit Demam Babi Afrika (ASF).

Selangor dilaporkan masih kekal bebas daripada penyakit Demam Babi Afrika (ASF). Ia berikutan jangkitan penyakit itu di beberapa negeri. Baca seterusnya.

d

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, kerajaan negeri meningkatkan sistem biosekuriti di sempadan Selangor dengan Negeri Sembilan sebagai langkah pencegahan.

“Ia susulan pengesanan penyakit ASF di sebuah ladang haram di Site A, Port Dickson oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) di negeri tersebut pada 8 April lalu.

“Setakat ini sebanyak 118 ladang babi berdaftar di Selangor,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada 9 April lalu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir memberitahu, pengesanan penyakit itu diperoleh hasil pengesahan sampel ke atas dua ekor daripada 275 ekor babi di ladang tidak berlesen tersebut.

Bakri memberitahu, jangkitan itu berkemungkinan susulan kemasukan haiwan berkenaan dari Perak namun siasatan masih dijalankan.

Mengulas lanjut, Izham berkata, tiada sekatan ke atas kemasukan haiwan ternakan itu dari Perak ke Rawang bagi tujuan sembelihan.

“Ini kerana tiga ladang di Hilir Perak dan Batang Padang Perak yang terdapat kes ASF telah disita dan dilarang keluar dari premis untuk pelupusan,” katanya.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply