Pesawat terhempas di Nepal: 66 Disahkan M@ut | Sekurang-kurangnya 66 orang disahkan terbunuh apabila pesawat yang membawa 68 penumpang dan empat anak kapal terhempas di Nepal pagi Ahad.
Jurucakap Tentera Nepal Krishna Bhandari memberitahu Agensi Anadolu bahawa 66 mayat ditemukan dari lokasi nahas setakat ini.
Usaha mengesan enam orang lagi mangsa sedang giat dijalankan.
Pegawai kanan di Kementerian Dalam Negeri Fanindra Mani Pokharel, memberitahu bahawa pesawat penumpang yang dikendalikan Yeti Airlines terhempas berhampiran Pokhara, sebuah destinasi pelancongan popular yang terletak 200 kilometer dari barat Kathmandu.
Jurucakap Polis Nepal Tek Prasad Rai memaklumkan, anggota polis dan tentera dikerah ke lokasi nahas.
Beliau berkata Perdana Menteri Nepal Pushpa Kamal Dahal melahirkan rasa sedih atas “kemalangan tragis Yeti Airlines ANC ATR 72 yang dalam perjalanan dari Kathmandu ke Pokhara.
Menurut ciapannya di Twitter Saya dengan tulus merayu kepada anggota keselamatan, semua agensi kerajaan Nepal, dan orang awam untuk memulakan penyelamatan yang berkesan.
Kedutaan India di Kathmandu pada Ahad mendedahkan maklumat yang diberikan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal bahawa lima warga India menaiki penerbangan itu.
Menurut misi itu, kedutaan sedang berhubung dengan pihak berkuasa tempatan dan sedang memantau keadaan.
Sumber: Harian Metro
Artikel Lain
Lebih 16 M@ut Pesawat Terhempas Di Nepal
Lebih 16 M@ut Pesawat Terhempas Di Nepal | Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh selepas sebuah pesawat yang membawa 72 orang penumpang terhempas di Nepal.
Menurut laporan media, pesawat itu terhempas di antara lapangan terbang lama dan baharu Pokhara di tengah Nepal.
Jurucakap syarikat penerbangan, Sudarshan Bartaula berkata, pesawat enjin berkembar ATR 72 yang dikendalikan oleh Yeti Airlines Nepal itu turut membawa dua bayi, empat anak kapal dan 10 warga asing.
Krishna Bhandari, jurucakap tentera berkata, mereka menjangkakan untuk mengenal pasti lebih banyak mayat.
Perdana Menteri, Pushpa Kamal Dahal berkata, pesawat itu dalam penerbangan dari Kathmandu ke Pokhara dan menggesa anggota keselamatan serta orang ramai turut membantu dalam usaha menyelamat.
Pokhara merupakan sebuah bandar pelancongan yang sibuk kira-kira 200 kilometer di barat ibu kota Kathmandu.
Televisyen tempatan menunjukkan asap hitam tebal berkepul-kepul dari lokasi nahas ketika pekerja penyelamat dengan orang ramai berkumpul di sekitar serpihan pesawat itu.
Gurudutta Dhakal, pegawai tempatan, menyatakan bahawa pihak polis sudah berada di lokasi kejadian dan cuba memadamkan api. Semua agensi kini menumpukan usaha memadamkan kebakaran terlebih dahulu dan menyelamatkan penumpang.
Sumber: Utusan Malaysia
Pesawat Ringan Terhempas Di Tanah Perkuburan
Pesawat Ringan Terhempas Di Tanah Perkuburan | Akhbar New York Post melaporkan bahawa sebuah pesawat ringan terhempas di atas sebuah tanah perkuburan dalam nahas udara yang berlaku di Long Island, New York kelmarin.
Polis daerah Suffolk berkata, sekitar pukul 1.50 tengah hari (waktu tempatan), pesawat itu terhempas di Tanah Perkuburan Beth Moses, West Babylon.
Dua orang yang menaiki pesawat itu iaitu seorang juruterbang lelaki dan seorang penumpang wanita, telah dibawa ke Hospital Universiti Good Samaritan di West Islip kerana mengalami cedera ringan, kata beberapa pegawai.
Polis berkata, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan telah menghantar petugas ke tempat kejadian.
Gambar di lokasi nahas menunjukkan pesawat itu tersadai di atas laluan tanah perkuburan tersebut, manakala tanaman hiasan dan beberapa batu nisan musnah.
Tanah perkuburan itu terletak kira-kira 3.2 kilometer dari Lapangan Terbang Republic di East Farmingdale. Lapangan terbang tersebut adalah bagi kegunaan pesawat ringan.
Sumber: Kosmo