“Hasrat kedua-dua arwah untuk ponteng sekolah pada Khamis dan Jumaat semata-mata menjaga dan bersama saya yang tidak sihat menjadi petanda mereka akan pergi meninggalkan kami sekeluarga untuk selama-lamanya, “kata ibu mangsa dua beradik yang maut terkena renjatan elektrik, Syakila Hasan.

Dua Beradik Maut Terkena Renjatan Elektrik, Luahan Ibu Mangsa Buat Ramai SAYU

Pencari dan penjual barangan terpakai berusia 35 tahun itu berkata, sepanjang dua hari lalu kedua anaknya tidak keluar ke mana-mana dan sentiasa bersama keluarga kecuali menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran sebelum tragedi menyayat hati itu berlaku.

Menurutnya, pada Khamis, anaknya, Adam Harish, 10, menyediakan masakan cucur tepung dan beriya-iya menyuruhnya merasainya kerana dia pandai memasak.

Katanya, dia tidak menyangka masakan yang disediakan itu adalah hidangan terakhir dari Harish yang sebelum ini sering menyuarakan hasrat ingin bertukar sekolah ke aliran agama.

“Namun kami tidak dapat tunaikannya kerana tiada pendapatan tetap apabila kedai makan yang diusahakan terpaksa ditutup akibat pandemik Covid-19.

“Sebelum menunaikan solat Jumaat dua beradik ini turut meminta suami, Zamri Mohd Ali, 49, menyediakan masakan ayam masak merah dan mereka sangat berselera ketika kami sekeluarga menjamah hidangan tengah hari “katanya ketika ditemui di rumahnya di Teras Jernang di sini hari ini.

Jumaat lalu, dua beradik, Adam Harish dan Adam Haziq yang juga murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi, dilaporkan maut apabila terkena renjatan elektrik ketika mandi di dalam besen.

Syakila berkata, dua anaknya itu meminta kebenaran untuk mandi di halaman rumah bersama adik bongsu mereka, Adam Hazreil, 7, tahun.

Katanya, kejadian berlaku selepas solat Asar ketika dia sedang berehat di dalam rumah dan terdengar suara Adam Hazreil meminta tolong mengatakan kedua-duanya abangnya terkena renjatan eletrik.

“Saya bergegas keluar dan melihat mereka sudah terbaring di halaman rumah dan tidak berani keluar kerana ketika itu air bertakung di kawasan tempat mereka mandi dikhuatiri ada arus elektrik mengalir, “katanya.

Sementara itu Zamri berkata, sebelum kejadian dia ada bersama anaknya di bahagian hadapan rumah sebelum meninggalkan mereka untuk ke kedai berdekatan membeli barangan keperluan.

Menurutnya, mereka mandi menggunakan bekas takungan air dan besen di halaman rumah yang diisi dengan air paip.

Katanya, sekembalinya dari kedai mendapati Harish dan Haziq sudah terbaring berdekatan ampaian dan besen yang digunakan ketika mandi manakala dia juga terkena renjatan ketika menyentuh tiang ampaian di situ.

“Anak bongsu memaklumkan ketika Harish ingin mengambil tuala di ampaian dia terkena renjatan elektrik selepas memegang tiang ampaian yang bersentuhan dengan zink bumbung rumah.”

“Pada masa sama Haziq yang melihat kejadian itu ingin membantu Harish lalu terkena renjatan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Katanya, mereka reda dengan kejadian itu dan sedang mempertimbangkan untuk mencari keadilan di atas apa yang berlaku.

Sumber : Harian Metro

Share.

Leave A Reply