Dua Lelaki Pecah Masuk Rumah Ditangkap Sejam Selepas Rompakan | KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang memecah masuk sebuah rumah di Taman Muda, Ampang Jaya, awal pagi tadi diberkas kurang sejam selepas kejadian.
Kedua-dua suspek berusia 30 dan 31 tahun diberkas anggota Unit Kereta Peronda (MPV), Polis Daerah Ampang Jaya, yang melakukan rondaan cegah jenayah, selepas dimaklumkan suami mangsa.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata dalam kejadian jam 6 pagi, kedua-dua suspek terbabit dipercayai memecah masuk jeriji di bahagian belakang untuk masuk rumah mangsa.
“Suspek yang bersenjatakan sebilah parang dilapor mengacukannya ke arah isteri mangsa sebelum memaksanya menyerahkan barang berharga.
“Isteri mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada suaminya yang keluar dari rumah untuk mendapatkan pertolongan,” katanya ketika dihubungi.

Mohamad Farouk berkata tidak lama selepas itu pemilik rumah melihat sebuah kereta MPV polis sebelum mengejarnya untuk mendapatkan bantuan.
“Hasil maklumat daripada pemilik rumah polis yang mengelilingi kawasan perumahan itu menemui dua lelaki dalam keadaan mencurigakan pada jam 6.50 pagi sebelum menahan mereka.
“Pemeriksaan lanjut menemui semula barang berharga yang disamun daripada isteri pemilik rumah terbabit,” katanya.
Beliau berkata siasatan lanjut mendapati seorang daripada suspek terbabit memiliki 38 rekod jenayah lampau serta dikehendaki pihak polis manakala seorang lagi tiada rekod.
Ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methaphetamine dan polis akan mendapatkan kebenaran reman esok.