Dugaan 2020 | Tahun ini tidak seperti tahun-tahun yang lepas. Begitu banyak dugaan yang melanda. Aku harapkan agar dengan penulisanku yang tidak seberapa ini, dapat meredakan hati-hati yang sedang terluka. Atau saja ingin aku memohon untuk meminjam kekuatan dan kata kata semangat dari warga maya.

Aku, perempuan berusia awal 40 an. InshaAllah bakal berkahwin tahun ni.
Agak lambat bertemu jodoh. Nak buat macam mana, lain orang lain
ceritanya. Ibaratnya, ada orang yang menggunakan jalan ber tol, ada yang
ikut jalan kampung yang berliku-liku untuk ke destinasi. Macam aku ni ha….

Aku bertunang tahun lepas, ikut perancangan nikah dan resepsi April
tahun ni. OK la tu kan perancangannya kumpul duit selama setahun untuk
buat majlis. Selama itu, expo kahwin kami terjah dan akhirnya setelah
mendapat dewan dan pakej yang OK kami pun lock tarikh.

September 2019, aku dan kakak sulung ke Jakarta. Sambil melawat
saudaraku yang sakit, kami beli sikit sikit kain seragam untuk famili.
Kain lace dan batik untuk perempuan, kain polos untuk baju Melayu.

Warna yang dipilih ialah warna hijau zaitun, sesuai untuk semua warna
kulit. Baik yang berkulit putih melepak macam Ibu ku, atau yang sawo
matang pasti nampak kacak dan cantik dengan warna itu.

Oh ya, sedikit latar belang ibu bapaku. Ibuku berusia lewat 70an, masih
boleh berjalan walau sedikit perlahan. Tetapi menghidap Alzheimer yang
mana memerlukan bantuan untuk mandi dan sebagainya.

Bapak pula awal 80an, masih bole berjalan walau sedikit perlahan. Tetapi
mengalami kesukaran untuk bertutur akibat daripada serangan strok yang
menimpanya 15 tahun dulu.

Apapun yang pasti Bapak gembira bila tahu aku nak kahwin. Bergenang jua
airmata beliau bila nampak aku pergi kursus kahwin hari tu.

Tapi langit tak selalu cerah. Ada musim hujan,guruh dan kadang-kadang
pelangi. Tak lupa juga musim panas, musim jerebu serta musim bekalan air
terganggu dek kerana loji tercemar.

November 2019, Ibu terjatuh dari katil akibat strok. Pertama kali
diserang strok tapi akibat daripada itu, ibu terus lumpuh. Terbaring di
katil dengan kebanyakan masanya tidur. Sesekali dia membuka mata. Tapi
pandangannya kosong. Makanannya hanya susu yang diberi melalui tiub.

Tiada lagi perkataan keluar dari bibirnya seperti biasa. Kalau dulu
soalannya selalu berulang, kini aku berharap agar dapat mendengar soalan
itu sekali lagi. Tapi tiada….

Alhamdulillah adik beradik aku mengambil giliran menjaga Ibu. Beri makan
susu dan ubat, membersihkan dan menukar lampin serta sedikit tugasan
yang berkaitan. Bapak juga kami tak lupakan, setiap pagi kami akan
sediakan teh kurang gula sebelum ke pejabat.

Febuari 2020, keadaan ibu membimbangkan. Semasa lawatan pasukan dari
Klinik Kesihatan, kulit Ibu sangat kering dan badannya membengkak. Tidak
tahu apa puncanya walaupun kami membuat latihan fisio yang diajar,
makananya mengikut jadual dan sukatan yang disyorkan.

Ubatannya juga tak pernah tertinggal. Kes ini kemudian dirujuk ke
hospital dan Ibu dimasukkan ke wad sekali lagi. Dalam masa yang sama,
Kak Ngah ku yang selama ini mengadu sakit perut telah disarankan untuk
membuat biopsi.

Dia didiagnosis menghidap kanser tahap 4. Kami sangat terkejut dengan
berita ini. Bagaikan kereta menukar lane tanpa lampu signal begitulah
adanya.

Setelah beberapa hari Ibu dibenarkan keluar hospital. Badannya tidak
lagi bengkak seperti dulu dan kulit pon dah tak mengelupas lagi. Kak
Ngah pula terus kuatkan semangat dan mengikut apa jua saranan doktor
untuk rawatan seterusnya.

Mac 2020,Ibu ada temujanji untuk scan jantung di hospital. Nak dijadikan
cerita pada hari tu Ibu kerap muntah. Ibu terpaksa dimasukkan ke wad
sekali lagi kerana ulser perut. Kali ini tekanannya terlalu rendah.

Kak Long dan abang Chik yang menemani ibu ketika itu diberitahu doktor
bahawa keadaan Ibu sangat tidak baik.

Kami diminta untuk bersedia atas apa yang bakal terjadi. Tiada CPR akan
dilakukan jika nafasnya terhenti. Ini kerana atas faktor usia dan proses
itu amat menyakitkan tuan punya badan.

Kami menandatangani surat perjanjian untuk perkara tersebut. Di
hospital, kami adik beradik mengambil giliran berjaga malam.

Ada masa membacakan Yasin dan surah-surah pendek. Selain itu memberi
makan susu dan membantu jururawat membersihkan dan menukar lampin Ibu.

Dalam masa yang sama, khabar angin tentang kawalan berkurung sudah
bertebaran. Ini semua disebabkan kes-kes Covid 19 yang semakin mengganas.

Akhirnya, 18 Mac diumumkan sebagai hari pertama tempoh PKP. Yang mana
waktu itu tidak ada seorang pun keluarga pesakit dibenarkan untuk
menemani pesakit di wad.

Kami redha dan berharap pada Allah hanya yang terbaik. Jika sudah
masanya Ibu dijemput Allah, doa kami biarlah dengan cara yang paling
lembut dan semoga husnul khotimah. 19 Mac, aku mendapat panggilan
telefon dari hospital.

Ibu sudah tiada. Kami diminta ke forensik untuk urusan permit kubur dan
sebagainya. Saat melihat jenazah ibu, autom4tik airmata ini mengalir
laju. Selama ini hanya mendengar pengalaman kawan-kawan, akhirnya
terjadi depan mata.

Aku dan Abang Chik meminta turut serta dalam proses memandikan jenazah
Ibu. Itu memang telah lama menjadi hasratku, lagipun ketika kejadian
tersebut rumah kami yang paling hampir dengan hospital.

Ibu antara yang terawal meninggal dunia ketika PKP. Jadi prosedurnya
belum diperhalusi. Lepas mandi, solat jenazah dilakukan di bilik
forensik juga. Kemudian terus dibawa ke tanah perkuburan.

Urusan pengebumian dijalankan seringkas yang mungkin. Hati kami sayu
melihat Bapak menyiram air mawar di pusara Ibu. Tapi kami harus kuat .
Demi Bapak dan demi kami sendiri.

Hari hari dijalani dengan kebiasaan baru ketika PKP. Aku masuk pejabat
secara berjadual. Seminggu dua atau tiga hari di pejabat. Selebihnya di
rumah. Tiada ‘work from home’ untuk aku, lagi lagi tugas aku memerlukan
akses untuk maklumat sensitif pelanggan.

Masa di rumah ni, dapatlah aku teman kan Bapak. Aku memasak ,buat
dalgona,mengemas rumah dan sebagainya. Tak pernah aku lihat Bapak
menagis di depan ku. Aku jua cuba menahan diri dari menagis di depannya.

Oh ya, atas saranan banyak pihak pernikahan aku pada April ditangguhkan.
Lagi -lagi ada kes kadi yang terjangkiti. Majis resepsi memang pastilah
tak boleh buat. Aku faham rasional atas arahan ini sebab aku pun tak nak
jadi pencetus kluster. Kluster CDK.

April 2020,pada harijadi aku. Yang sepatutnya menjadi majlis nikah dan
resepsi. Pagi tu aku dapat video call dari adik beradik aku. Meriah,
tapi Bapak tak join sebab dia nak tidur.

Esoknya, Bapak mengadu sakit dada. Aku dan Bang Ngah bawa ke klinik
kemudian dirujuk ke hospital. Kemudian dimasukkan ke wad. Rupanya Bapak
terkena serangan jantung. Kali ni kami tidak berpeluang menjaga Bapak di
hospital.

Esoknya aku ke hospital untuk menghantar bekalan lampin, tisu lembab dan
ripple mattress. Dan doktor berhasrat untuk berjumpa waris terdekat bapak.

Di kaki lima wad,aku diberitahu bahawa keadaan Bapak tidak semakin
pulih. Bagaikan dejavu, tapi ini kenyataan. Aku diminta menandatangi
surat yang sama. Tetapi kali ini aku meminta tolong doktor, kalau perlu
bantulah Bapak untuk solat.

Dan doktor tersebut walaupun bukan Muslim tetapi amat memahami. Dia
kata, mereka ada beberapa jururawat lelaki Muslim, inshaallah boleh
bimbing Bapak solat.

Aku berkata, ‘Doktor , buatlah apa yang terbaik untuk Bapak saya. Saya
letakkan kepercayaan saya pada doktor dan pasukan doktor’.

Beberapa hari kemudian, Bang Chik aku dibenarkan untuk melawat Bapak.
Mungkin jua sebab keadaan Bapak sudah semakin kritikal.

Bang Chik beritahu, Bapak asyik tidur. Mungkin pengaruh ubat dan
sebagainya. Raut wajahnya bagaikan redha kalau masanya sudah tiba
dijemput Allah. Sekali lagi kami diminta untuk bersedia atas sebarang
kemungkinan.

Lewat malam itu, aku menerima panggilan dari hospital. Ya Bapak sudah
tiada. Bapak yang sepatutnya menjadi wali aku. Membayangkan kami akan
menagis berpelukan selesai akad nikah, tetapi ini tidak mungkin berlaku.
Yang ada hanya tangisan aku seorang.

Bukan dia yang melepaskan aku ke tangan suami ku, tetapi aku yang
memulangkan Bapak ke alam abadi. Jenazah Bapak tidak dapat dilepas serta
merta kerana ujian COVID 19 yang kedua belum keluar keputusannya. Ujian
ini penting bagi memastikan tatacara pengurusan jenazah.

Esoknya , keputusan dikeluarkan dan alhamdulillah Bapak negativ Covid
19. Jadi pengurusan jenazah adalah seperti biasa. Apa yang dilalui
ketika menguruskan jenazah Ibu adalah sama. Seringkas mungkin. Cuma aku
tak menyangka aku harus lalui semua sekali lagi dalam tempoh sebulan.

Memang sedih dan pedih tetapi aku percaya dua perkara:

Yang Allah tak akan menguji kita diluar kemampuan kita dan;

Disebalik setiap kesukaran ada kemudahan.

Untuk setiap orang yang terkesan akibat Covid ini:

Barisan hadapan (doktor , jururawat sehinggalah ke kakitangajian
pembersihan);

Yang dipotong gaji hinggalah yang hilang pekerjaan;

Pengantin yang tertangguh;

Mereka yang kehilangan orang 2 yang tersayang dan;

lain lain yang tak tersebut di sini:

Kita ini sedang berperang, bezanya musuh kita ni tak terlihat dengan
mata kasar. Inshallah tak lama lagi semua ini kan berakhir. Doakan akad
nikah aku berjalan lancar kali ni ya.

Terima kasih tau baca kisah aku yang panjang ni. Maaf kalau penulisan
aku ada salah silap. Ada masa nanti aku share cara cara aku menghadapi
ujian ini.

– Cik Daun Kering (Bukan nama sebenar)

 

Kredit: IIUM Confessions

 

Share.

Leave A Reply