Ini Pujian Rakan Sejawat Di AS Buat Dr Noor Hisham | “SAYA berbangga dengan kebijaksanaan dan kerja keras Dr Noor Hisham serta pasukannya (kendalikan pandemik Covid-19) dan saya sangat sedih dengan negara saya sendiri.
“Lihatlah AS (Amerika Syarikat) dan Dr Fauci pula (Pakar penyakit berjangkit AS, Dr Anthony Fauci) diancam bunuh,” demikian luahan Pakar Bedah AS, Julie Miller.
Beliau adalah rakan sejawat Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang memuji Malaysia dan membuat perbandingan antara AS dan negara ini mengendalikan Covid-19.
Dalam catatan Facebook milikya semalam, Dr Miller berkata, Malaysia menjadi contoh negara terbaik apabila pemimpin atasan mendengar pandangan sains dan bukan berpaksikan politik dalam isu pandemik itu.
“Rakan sejawat saya, pakar bedah endokrin Dr Hisham Abdullah, adalah Ketua Pengarah Kesihatan di Malaysia dan beliau bertindak (menangani) pandemik mereka.
“Sejak Januari lalu, beliau bekerja siang dan malam. Pegawai pula mendengar dan melaksanakan nasihatnya manakala orang ramai mematuhi jarak sosial, mencuci tangan dan memakai pelitup muka.
“Pada mulanya, beliau membuat keputusan sukar, walau sebelum Malaysia merekod kes pertama lagi.
“Kawalan ketat sempadan, saringan, mengesan, pengasingan, menyampaikan mesej dengan jelas dan konsisten, (kendalikan) sidang media harian, bukti serta (membuat) keputusan berdasarkan fakta,” katanya yang turut tag Dr Noor Hisham dengan status dimuat naik itu.
Katanya, hasilnya Malaysia sebuah negara Asia berbilang bangsa dan populasi padat dapat mengatasi pandemik itu dengan baik malah Dr Noor Hisham turut diangkat sebagai hero negara.
“Sains, bukan politik,” katanya.
Setakat hari ini, status berkenaan yang dimuat naik bersama gambar Dr Noor Hisham berlatar belakangkan lukisan mural wajah pakar itu dan perbandingan graf kes harian Covid-19 antara empat negara termasuk Malaysia meraih 13,000 tanda suka, 1,200 komen serta 5,000 perkongsian.
Sumber : HMetro