Perwatakan tegas dan garang sememangnya sinonim bagi individu yang bergelar bapa.
Tujuan utamanya adalah untuk mendidik dan membentuk disiplin dalam diri anak-anak agar menjadi insan yang berguna dan mampu membanggakan keluarga apabila meningkat dewasa kelak.
Namun sikap garang yang keterlaluan serta tidak bertempat amat tidak digalakkan kerana emosi anak akan terjejas dan memberi kesan mendalam terhadap tumbesaran mereka.
Sebagaimana luahan seorang individu di laman ConfesstweetMY, dia berkongsi kisahnya dan lima adik-beradik lain yang dibesarkan dalam suasana yang agak tertekan gara-gara bapanya yang seorang yang panas baran.
Abah panas baran. 6 beradik membesar dalam ketakutan. Mak pernah dimaki "lembab" sebab lambat hidang makanan.
(1/2) pic.twitter.com/HRrS9kpgRn
— Emosi (@ConfessTweetMY) November 8, 2022
“Abah punya baran sampai kalau lambat hidang makan pun dia mengamuk pekik dekat mak. Dimakinya lembab tak pandai jaga dia.”
“Apabila abah ada dekat rumah, rumah jadi sunyi sepi. Tak boleh bising, tak boleh main. Kalau abah keluar barulah rumah tu hidup dengan gelak tawa kami dan mak. Kami gembira dia tak ada dekat rumah,” kongsinya.
Menurut individu yang tidak mendedahkan identiti itu, disebabkan sikap si bapa, abang sulungnya yang ketika itu berusia awal 20-an mengambil keputusan untuk lari dari rumah dan tidak pulang bertahun-tahun lamanya selepas terjadinya pertengkaran.
“Mereka pernah gaduh besar, abah cekik leher along tapi along tak balas fizikal. Dia tunggu abah lepaskan.
“Esoknya along lari dari rumah, terus tak balik bertahun-tahun,” katanya lagi.
Individu tersebut dan adik-beradik yang lain turut menyusul keluar dari rumah berkenaan apabila melangkah ke alam pekerjaan.
“Kami semua penat ajak mak duduk dengan salah seorang daripada kami tapi mak tak nak. Nak jaga abah,” luahnya.
Betapa terkilannya dengan sikap si bapa yang panas baran, dia juga mengakui bahawa tiada seorang pun daripada adik-beradiknya yang terbuka hati untuk pulang ke kampung apabila medapat khabar bahawa ayah mereka jatuh sakit.
“Tak lama lepas tu abah meninggal. Kami pun balik uruskan jenazah. Kebetulan bulan puasa masa tu. lagi dua hari nak raya.
“Untuk pertama kalinya dalam hidup kami, kami pasang lampu kelip-kelip dekat luar rumah. Pasang pelita, rumah pun riuh dengan gelak tawa adik-beradik dengan anak saudara.
“Mak ceria sangat main dengan cucu. Tak ada tahan ketawa, tak ada lagi larangan bising, tak ada lagi caci maki dalam rumah. Kami happy untuk pertama kali sambut raya.”
“Selesai solat raya, kami balik rumah beramai-ramai hidang makanan masak semalam. Tiba-tiba ada orang bagi salam. Suara yang saya dah bertahun-tahun tak dengar. Suara along.”
“Kami adik-beradik semua berlari peluk along. Menangis macam budak-budak, tak ada cover dah,” kongsinya lagi.
Sejak pemergian si bapa, mereka adik-beradik kerap menziarahi ibu kerana wanita berkenaan lebih selesa tinggal di kampung, ujarnya.
Sehingga kini, perkongsian cerita tersebut meraih lebih 6000 ulang kicau.
Menjengah ke ruangan komen, ada segelintir netizen yang turut berkongsi kisah yang hampir serupa.
Rata-rata menasihatkan ibu bapa muda agar mengambil ikhtibar dengan perkongsian berkenaan supaya tidak melakukan penderaan emosi kepada anak-anak.
“Bapa dia ni buka garang, tapi abusive. ibu bapa sila ambil perhatian, garang biar bertempat.”
“Jangan jadi ibu bapa toksik. Didik anak supaya mereka sayang kita, mahu dekat dengan kita apabila mereka dah dewasa kelak.” demikian antara komen daripada netizen.
Dalam pada itu, ramai juga dalam kalangan netizen yang melahirkan rasa gembira kerana keluarga individu berkenaan akhirnya kembali bersatu dalam suasana yang harmoni.
“Sebaknya baca confession ni. Kuat dan sabarnya ibu kamu,”
“Macam movie tapi realiti. Tumpang happy untuk kamu,”
“Alhamdulillah, mereka berhak mendapat kegembiraan pada akhirnya,” demikian komen daripada beberapa netizen lagi.
Sumber : Mstar