Budak Perempuan Dikurung Selama 8 Tahun Oleh Ibu Sendiri | Penderitaan kanak-kanak perempuan yang didakwa dikurung oleh ibu dan datuk neneknya di barat Jerman, sejak berumur kurang daripada setahun berakhir selepas mangsa dibebaskan, baru-baru ini.

The Guardian melaporkan bahawa keadaan itu menyebabkan tumbesaran kanak-kanak berusia lapan tahun berkenaan terbantut sehingga hampir tidak mampu menaiki tangga.

Kanak-kanak dikenali sebagai Maria itu difahamkan menghabiskan lebih tujuh tahun di dalam bilik berkunci di rumah datuk dan neneknya di Attendorn, sebuah bandar yang mempunyai kira-kira 25,000 penduduk di timur Cologne.

Patrick Baron von Grotthuss, pendakwa raya menyata kepada SauerlandKurier, akhbar tempatan bahawa dia tidak dapat melihat dengan banyak, dunia luar.

Doktor yang memeriksa gadis itu selepas dibebaskan pada 23 September tidak menemui tanda penganiayaan fizikal atau kekurangan zat makanan, kata pihak berkuasa perbandaran dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, semasa pemeriksaan, Maria dilaporkan berkata, tidak pernah melihat hutan, berada di padang rumput atau berada di dalam kereta.

Kanak-kanak itu boleh bercakap dan berjalan, namun Grotthuss berkata, budak itu hampir tidak dapat menaiki tangga sendiri atau memijak tanah yang tidak rata.

Punca dia disembunyikan daripada orang ramai hampir sepanjang hidupnya masih tidak jelas.

Ia kerana ibu dan datuk dan neneknya dilaporkan enggan memberikan keterangan semasa soal siasat polis.

Bapa kanak-kanak itu yang sudah berpisah dengan ibunya semasa kelahirannya, memberitahu SauerlandKurier bahawa dia menemui nota pada cermin keretanya ketika anak perempuannya berumur enam bulan.

Nota itu memaklumkan hasrat bekas pasangannya untuk berpindah ke Itali dengan kanak-kanak terbabit.

Ibu itu hanya dinamakan sebagai ‘Rosemarie G’ oleh tabloid Bild untuk melindungi privasinya semasa prosiding kes jenayah itu, memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan bahawa dia berpindah ke Calabria, barat daya Itali, pada pertengahan 2015.

Bapa kanak-kanak itu melaporkan kepada pihak berkuasa kebajikan belia pada September 2015 bahawa dia berulang kali melihat ibu dan anak itu di Attendorn.

Susulan itu, pihak berkuasa menyoal siasat datuk nenek perempuan itu tetapi dimaklumkan bahawa dua beranak itu menetap di Itali.

Julai lalu, pihak berkuasa tempatan sekali lagi menyiasat keberadaan kanak-kanak itu.

Ia selepas suami isteri yang tinggal di Lennestadt memaklumkan polis mengenai khabar angin bahawa kanak-kanak itu kini berusia lapan tahun dikurung di sebuah rumah selama bertahun-tahun.

Sumber: Harian Metro

 

Artikel Lain

Remaja Dirantai, Dikurung Ibu Bapa Sendiri. Puncanya TAK MASUK AKAL

Remaja Dirantai, Dikurung Ibu Bapa Sendiri. Puncanya TAK MASUK AKAL | Seorang remaja berusia 15 tahun disyaki telah menjadi mangsa pengabaian dan penderaan oleh bapa dan ibu tirinya setelah rakaman yang memaparkan keadaannya tular di media sosial.

Remaja Dirantai, Dikurung Ibu Bapa Sendiri. Puncanya TAK MASUK AKAL

Memetik laporan Kompas.com, video tersebut memaparkan keadaan mangsa yang ketika itu memakai baju berwarna merah dan duduk bersila di atas tanah, dengan kakinya dirantai.

Remaja itu juga kelihatan sangat kurus dan memberi isyarat lapar serta meminta makanan.

Difahamkan, remaja itu melarikan diri dari rumah selepas bapa dan ibu tirinya terlupa mengunci pintu pagar. Dia juga telah pergi ke rumah jirannya dan meminta makanan kerana lapar.

“Dia kata dia lapar, ayah dan ibu tirinya tak pernah bagi dia makan dan dia selalu kena seksa,” kata jirannya.

Dia telah memberi makanan kepada mangsa sementara menunggu pihak berkuasa tiba di tempat kejadian. Pun begitu, rantai yang berada di kaki remaja tersebut pada ketika itu dipercayai masih belum dibuka.

“Kami penduduk tak berani nak buka (rantai), biar polis tolong dulu,” kata jiran mangsa.

Menurut jirannya, remaja itu telah dipindahkan ke rumah anak yatim selepas kisahnya tular di media sosial.

Beberapa saat kemudian, bapa dan ibu tiri mangsa yang baru selesai disoal siasat datang ke rumah anak yatim itu untuk mengambil mangsa.

Mereka berkeras untuk mengambil mangsa pulang ke rumah tetapi dihalang oleh penduduk tempatan.

Sementara itu, mangsa dikatakan telah didera dan dirantai kerana dianggap sering menghabiskan banyak makanan di rumah.

“Tadi saya sempat berbual dengan ibu bapa mangsa, dakwa mereka mangsa sering menghabiskan makanan.

“Mereka juga mengikat mangsa kerana takut mangsa mengambil makanan jiran-jiran mereka,” kata Ketua Lembaga Perlindungan Anak Indonesia (LPAI) Bekasi Raya Frans Sondang Sitorus.

Dalam pada itu, berdasarkan hasil bedah siasat di Hospital Besar Wilayah Kota Bekasi, mangsa dikatakan mengalami kesan lebam di pergelangan tangan dan kaki.

“Ada kesan lebam di pergelangan kakinya, mungkin akibat rantai yang diikat ibu bapanya dan di pergelangan tangan kirinya,” kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Bekasi Metro, Pesuruhjaya Polis Ivan Adhitira.

Jika terbukti ibu bapanya melakukan penderaan, kedua-duanya akan didakwa mengikut Undang-undang No.35 Tahun 2014 mengenai Perlindungan  Anak.

Sumber : SK

Share.

Leave A Reply