Seorang bekas pemandu lori dari Batu Hitam di sini, pasrah dan reda diuji dengan pelbagai penyakit bahaya yang dihidapinya hanya dalam tempoh setahun.
Mohd Irwan Hussein, 43, disahkan menghidap tumor otak, barah usus serta tulang belakang selain ketumbuhan di leher menyebabkan dia tidak lagi mampu bekerja.
“Saya reda ditakdirkan menghidap penyakit bahaya satu persatu dan berserah sepenuhnya kepada Allah SWT untuk sembuh selain bergantung pada rawatan di hospital.
“Saya tidak menyangka, sakit perut biasa yang dialami ketika menyusun tong ikan di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pada awal 2000 berakhir dengan ‘kehadiran’ empat jenis penyakit serius.
“Pada awalnya, saya alami pendarahan yang serius ketika mendapatkan rawatan kali pertama di Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini. Kemudian, selepas ujian dilakukan, saya disahkan menghidap barah usus.
“Lebih teruk, sel barah sudah merebak ke hati,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan hari ini.
Mohd Irwan dibedah pada 16 Disember 2020 untuk membuang usus yang rosak. Kemdian, dia diuji sekali lagi apabila diserang sawan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tiga hari.
“Apabila ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dijalankan, bahagian otak pula dikesan ada ketumbuhan,” katanya yang kelihatan tenang ketika menceritakan kisahnya.
Bapa kepada tiga anak itu kemudiannya dirujuk ke Hospital Selayang, Selangor untuk rawatan lanjut sebelum menjalani ujian Pet Scan di Hospital Putrajaya.
“Pakar di sana mengesan ketumbuhan di leher kanan dan di kedua-dua buah pinggang kiri serta kanan.
“Pada ujian pet scan Jun lalu, pakar dapati ada ketumbuhan pula di bahagian tulang belakang. Doktor sarankan sayajalani pembedahan kerana masih di peringkat awal namun saya belum bersedia.
“Saya hanya mengambil suntikan untuk matikan sel barah walaupun ia tidak begitu memberi kesan malah sel itu semakin merebak,” katanya.
Mohd Irwan berkata, bagi mengawal sel barah daripada terus menyerang, dia perlu menjalani rawatan kimoterapi sebanyak enam pusingan.
“Semuanya bergantung kepada kimoterapi yang sudah memasuki sesi keempat ini dan saya amat berharap semuanya berjalan dengan baik,” katanya.
Mohd Irwan kini bergantung sepenuhnya kepada isteri, Hasnita Shamsul Bahri, 40, yang mengambil upah mengurut.
Pihak yang ingin membantu boleh menghubungi Mohd Irwan di talian 011-39137133.
Sumber: Harian Metro