Hartawan terkemuka, Elon Musk dikhabarkan merancang untuk mengurangkan kira-kira 3,700 pekerja di Twitter Inc, atau separuh daripada tenaga kerja syarikat media sosial itu.

Menurut sumber, perkara itu dibuat dalam usaha untuk mengurangkan kos operasi selepas membuat pembelian aplikasi tersebut pada harga AS$44 bilion (RM208.65 bilion).

Pemilik baharu Twitter itu dijangka akan memaklumkan kepada kakitangan yang terjejas pada hari Jumaat.

Musk dan pasukan penasihatnya juga menimbang pelbagai senario untuk pemberhentian kerja dan perubahan dasar lain di Twitter yang berpangkalan di San Francisco.

Musk juga berhasrat untuk membatalkan dasar kerja yang membenarkan kakitangan menjalankan tugas di mana sahaja sebaliknya mengembalikan semula polisi bekerja di pejabat walaupun beberapa pengecualian boleh dibuat.

Musk juga dikatakan sedang mempertimbangkan untuk menawarkan pekerja yang diberhentikan pampasan gaji selama 60 hari.

Jurucakap Twitter bagaimanapun enggan memberi sebarang komen berhubung isu tersebut.

Antara tahun 2010 dan 2021 jumlah hasil Twitter berjumlah kira-kira USD25 bilion, perbelanjaan penyelidikan dan pembangunannya berjumlah kira-kira USD7.8 bilion dan hasil bersih terkumpulnya kira-kira USD1.3 bilion.

Dalam pada itu, ramai yang tidak menyangka beliau berjaya melakukan beberapa perubahan drastik pada platform Twitter hanya dalam tempoh 24 jam mengambil alih.

Antara perubahan yang berlaku pada Twitter adalah memecat CEO dan CFO Twitter serta merta.

Sering kali apabila seseorang individu menyertai atau mengambil alih sesebuah syarikat, mereka akan mengambil sedikit masa sebelum bertindak untuk membuat keputusan.

Lain ceritanya dengan Elon Musk yang bertindak memecat CEO dan CFO Twitter sejurus selepas beliau mengambil alih platform tersebut. Mengulas mengenai tugasan CEO Twitter, difahamkan Elon Musk bakal mengambil alih tugasan tersebut buat sementara waktu.

Untuk pengetahuan, CEO Twitter, Parag Agrawal telah meraih$42 juta (~RM198.34 juta) gara-gara dipecat daripada posisi beliau oleh Elon Musk.

Sumber: Utusan Malaysia

Share.

Leave A Reply