Empat Individu Dikompaun RM1,500 Ketika Leka Berjudi Di Dapur | Seperti yang kita sedia maklum, keadaan kita di negara ini masih lagi dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimana kita semua tidak dibenarkan keluar rumah melainkan ada hal kecemasan.
Baru-baru ini, empat individu termasuk seorang wanita ditahan ketika mereka sedang leka berjudi di sebuah rumah di Taman Mutiara Indah, Taman Benta Jaya, Benta, Lipis pada Isnin (semalam).
Difahamkan, semua antara mereka yang ditahan berusia dari 40 hingga 59 tahun itu didapati bermain judi ‘tai kee’ di ruang dapur rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, hasil pemeriksaan itu, pihaknya turut merampas wang tunai disyaki wang pertaruhan berjumlah RM1,485, cip pelbagai warna, dadu dan pelbagai peralatan lain yang digunakan dalam aktiviti tersebut.
Menurutnya, semua individu tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Judi Rumah Terbuka 1953.
“Kesemua mereka dikompaun masing-masing RM1,500 kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021,” katanya.
Tambah Azli, ketika pemeriksaan dilakukan, mereka gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana berkumpul tanpa kebenaran pihak berkuasa serta tiada penjarakan fizikal.
Sumber: Sinar Harian