Enggan Tegakkan Tempat Duduk Dalam Pesawat, Lelaki ‘Lunyai’ Dibelasah | Gara-gara enggan meletakkan tempat duduk ke posisi asal sebelum pesawat berlepas, seorang lelaki diserang oleh penumpang pesawat lain.

Walaupun pramugara meminta semua penumpang meletakkan tempat duduk pada kedudukan tegak dan memasang tali pinggang keledar, lelaki itu tetap berdegil dan gagal mematuhi arahan tersebut.

Penumpang itu memberikan alasan dia perlu berbaring kerana mengalami sakit belakang ketika menaiki pesawat Thai Smile Airways yang akan berlepas ke Kolkata, India dari Bangkok.

Penumpang itu berkata dengan penuh angkuh bahawa dia kerap menaiki pesawat dan tahu apa yang dia buat sekarang.

Kru kabin berusaha menjelaskan dengan baik mengenai prosedur operasi standard bagi mengelakkan penumpang belakang terhalang untuk menyelamatkan diri sekiranya situasi kecemasan berlaku.

Lelaki itu kemudian mencabar anak kapal melaporkan perkara tersebut kepada kapten pesawat jika mahu berbincang lanjut mengenai situasi yang dialaminya.

Bagaimanapun, sekumpulan penumpang yang berang dengan tindakan mementingkan diri itu sehingga menyebabkan operasi pesawat tergendala memukul lelaki itu berulang-kali.

Menerusi rakaman yang dimuat naik dalam akaun Twitter milik penyunting berita The Times of India, mangsa dilihat cuba mempertahankan dirinya dengan anak kapal cuba campur tangan bagi meredakan keadaan.

Insiden yang tercetus pada pukul 11.30 malam di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok, itu bagaimanapun tidak menyebabkan mana-mana penumpang dihalang menaiki penerbangan.

Selepas keadaan kembali reda, kesemua penumpang kembali di tempat duduk masing-masing dan penerbangan diteruskan seperti biasa.

Sumber: Utusan Malaysia

 

Artikel Lain

Pintu Pesawat Tiba-Tiba Terbuka, Penumpang Pegang Pintu Sehingga Mendarat

Rakaman detik cemas dua penumpang terpaksa memegang pintu pesawat yang terbuka hampir 20 minit tular di media sosial.

Pintu Pesawat Tiba-Tiba Terbuka, Penumpang Pegang Pintu Sehingga Mendarat

Insiden di Brazil itu menunjukkan dua lelaki memegang pintu sambil rakan penumpang lain yang ketakutan memandang ke luar tingkap.

Portal Metro UK melaporkan mereka berpaut di pintu itu selama 20 minit sehingga pesawat mendarat dengan selamat.

Laporan menyatakan kabel sokongan patah menjadi penyebab kemalangan mengejutkan itu.

Pesawat jenis Embraer 110 Bandeirante kebiasaannya boleh membawa antara 15 dan 21 penumpang.

Pesawat itu berlepas jam 12.30 tengah hari dengan 12 penumpang dari perbandaran Jordao ke Rio Branco, di utara Brazil, Selasa lalu.

Beberapa penumpang melaporkan mendengar bunyi ‘pelik’ selepas pesawat berlepas.

Tidak lama kemudian pintu di bahagian kiri pesawat tiba-tiba terbuka dan tercabut menyebabkan udara memasuki pesawat.

Pemegang pintu terhayun ke kipas pada enjin di kiri pesawat.

Dua lelaki dilihat dapat memegang pintu itu dan menutupnya.

Sementara itu, juruterbang pesawat itu menyahaktifkan enjin terbabit sebagai langkah berjaga-jaga.

Dia berjaya memandu pesawat ke pendaratan yang selamat.

Tiada kecederaan dilaporkan di atas kapal.

Seorang penumpang, yang tidak mahu namanya disebut memberitahu Gessta: “Saya rasa mereka menahan pintu selama 20 minit.”

Sumber: Harian Metro

 

Penumpang Pesawat Cemas Atas Kejadian. Ini Ceritanya.

Penumpang Pesawat Cemas Atas Kejadian. Ini Ceritanya. | Lebih 120 penumpang sebuah pesawat diarah keluar serta-merta sejurus tiba di lapangan terbang di New York selepas satu pengecas telefon bimbit terbakar dan mula mengeluarkan asap, lapor portal berita MailOnline.

Pesawat JetBlue yang berlepas dari Bridgetown, Barbados tersebut ketika itu baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa JFK menjelang sambutan Krismas.

Pentadbiran Aviasi Persekutuan (FAA), JetBlue dan Pihak Berkuasa Lapangan Terbang New York dan New Jersey berkata, pesawat berkenaan sedang begerak ke pintu di Terminal 5 sekitar pukul 8.50 malam (waktu tempatan) ketika pengecas telefon bimbit membebaskan asap memenuhi kabin.

Kru penerbangan JetBlue 662 dengan pantas memadamkan kebakaran kecil itu namun, tujuh penumpang dilaporkan mengalami cedera ringan. Ia termasuk sesak nafas kerana terhidu asap serta lebam pada siku kerana saling bertolakan ketika cuba keluar dari pesawat.

Pasukan tindak balas pertama dan kru pesawat memindahkan 67 penumpang dari pesawat Airbus A320 itu menggunakan sistem gelongsor kecemasan manakala 60 lagi keluar mengikut pintu biasa.

Seorang penumpang yang duduk di barisan hadapan berkata, kapten pesawat bertindak pantas sejurus asap memenuhi ruang kabin.

Penumpang berkata, kapten pesawat dengan pantas mengambil pemadam api dan bertindak dengan pantas untuk mengawal kebakaran.

Penumpang juga menyatakan beliau amat hebat dan berjaya memadamkan api.

Sementara itu, jurucakap JetBlue berkata, syarikat tersebut sedang menyiasat insiden itu berdasarkan penyelarasan pihak FAA dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB).

Sumber: Kosmo

Share.

Leave A Reply