Penduduk Sangka Ternampak UFO, Rupanya Roket Tentera | Khabar angin mengenai penampakan objek terbang tidak dikenali (UFO) sehingga meninggalkan jejak wap berwarna pelangi dan cahaya misteri di ruang udara Korea Selatan rupa-rupanya hanya latihan ketenteraan.
Perkara itu disahkan selepas tentera negara itu mengaku pihaknya adalah ‘dalang’ di sebalik objek misteri yang heboh diperkatakan dalam media sosial.
Menurut Kementerian Pertahanan, objek melambung tinggi di langit itu adalah satu bentuk roket baharu yang sedang dibangunkan oleh pihak tentera.
Pihaknya menjelaskan latihan tersebut tidak dimaklumkan lebih awal kerana melibatkan isu sensitif keselamatan ketenteraan negara.
Bagaimanapun, bentuk roket yang menimbulkan situasi panik dalam kalangan penduduk di Goyang belum diumumkan lagi.
Ujian roket yang dilancarkan ke ruang udara membolehkan pengawasan dari angkasa lepas dijalankan dan memberi peluang kepada Korea Selatan memperkukuh aspek pertahanan.
Susulan itu, pihak berkuasa menerima beratus-ratus laporan daripada penduduk yang melahirkan kebimbangan tentang kehadiran makhluk asing di bumi.
Roket itu dilancarkan empat hari selepas Korea Selatan menuduh Korea Utara menerbangkan lima dron merentasi garis sempadan.
Dilaporkan, pihak tentera gagal menembak dron tersebut walaupun menyedari kehadiran objek itu di ruang udara, sekali gus menimbulkan persoalan keselamatan rangkaian pertahanan udara negara ini.
Dalam perkembangan sama, Korea Utara juga berusaha membangunkan satelit pengawasan ketenteraan pertama serta sistem senjata berteknologi tinggi bagi mengatasi keupayaan Amerika Syarikat.
Sumber: Utusan Malaysia
Artikel Lain
Tular Di Medsos Rakaman UFO, Rupanya Tangki Air
Tular Di Medsos Rakaman UFO, Rupanya Tangki Air | Netizen di India gempar apabila sebuah hantaran tular di media sosial memaparkan gambar yang didakwa mereka sebagai objek terbang tidak dikenali (UFO), lapor laman berita First Post.
Berdasarkan rakaman yang dikongsikan di laman Twitter, seorang netizen berkata, dia menerima hantaran imej tersebut daripada seorang rakannya di New Delhi yang menyangka ia adalah sebuah piring terbang.
Bagaimanapun, jika diperhatikan secara teliti, imej sama ternyata sebuah tangki air yang tidak dapat dilihat dengan jelas disebabkan jerebu teruk melanda ibu negara India itu.
Bahagian atas tangki tersebut berbentuk seperti piring terbang yang sering dikaitkan dengan UFO meskipun ia sedikit kabur akibat jerebu tebal.
Bahagian bawahnya pula bagaimanapun hampir tidak kelihatan sehingga menyebabkan sebilangan netizen menyangka ia adalah UFO besar yang berlegar-legar di kaki langit.
Imej yang dimuat naik pada minggu lepas itu menjadi tular dan mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial.
“Pembenci akan menyatakan ia adalah imej ‘photoshop’,” kata seorang netizen yang menyangka ia imej UFO sebenar.
“Kini, UFO boleh terbang di sekitar New Delhi ketika hari siang dan menyamar menjadi tangki air apabila imejnya dikesan,” kata seorang lagi pengguna secara sinis.
Sumber : Kosmo
UFO Didakwa Melepaskan Tembakan Cahaya Ke Peluru Berpandu AS.
UFO Didakwa Melepaskan Tembakan Cahaya Ke Peluru Berpandu AS. | WASHINGTON – Seorang bekas pegawai tentera Amerika Syarikat (AS), Robert Jacobs mendakwa sebuah objek terbang tidak dikenali (UFO) melepaskan empat tembakan cahaya ke arah sebuah peluru berpandu yang membawa peledak nuklear palsu pada tahun 1964.
Pendedahan itu dilakukan Jacobs di Kelab Akhbar Kebangsaan, Washington baru-baru ini pada satu sidang akhbar.
Bagaimanapun, selepas dia mendakwa melihat kejadian itu, Jacobs diarahkan supaya mendiamkan diri dan tidak menyebarkan apa yang telah disaksikannya itu oleh seorang pegawai tinggi tentera.
Bekas pegawai tentera itu yang kini menjadi seorang profesor di Universiti Bradley menyatakan ketika itu, tentera AS melancarkan ujian peluru berpandu tersebut pada 14 September 1964.
Ketika kejadian, katanya, dia mengetuai satu unit yang dianggotai oleh 100 askar dan dihantar ke Pangkalan Tentera Udara Vandenberg, California untuk merakamkan gambar peluru berpandu itu dengan menggunakan sejenis peralatan canggih.
Peluru berpandu Atlas-D itu kemudian dilancarkan dari pangkalan itu dan ia kemudian berpisah dengan kepala peledak nuklear tersebut di pinggir angkasa lepas. – Agensi
Sumber: Sinar Harian