“Jaga solat dan jangan lupa nilai murni dalam diri,” itu antara pesanan yang dititipkan Chee Hoi Lan, 84, atau dipanggil ‘laoshi’ kepada anak angkatnya, Rohana Abdullah, 22.
Pesanan itu dititipkan sebaik sahaja gadis itu bergelar mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Kata Hoi Lan, dia berasa sangat gembira apabila anak angkatnya yang dijaga sejak berusia dua bulan itu berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading.
Katanya, dia gembira Rohana menyambung pelajaran di UTeM, memang berat hati hendak berpisah tetapi demi masa depannya dia relakan juga.
Tambahnya lagi, sebagai manusia, jangan lupa nilai murni atau moral serta sentiasa menjaga solat.
Dia juga pesan supaya telefon Rohana mesti sentiasa hidup, boleh tanya pergi mana dan bila balik.
Hoi Lan ditemui media selepas menemani Rohana yang merupakan antara 660 pelajar diploma daripada lima kursus ditawarkan UTeM yang mula berdaftar di Kompleks Dewan Kuliah Kampus Induk UTeM hari ini.
Sebelum ini, kisah Rohana tular di media sosial susulan dia telah dibesarkan oleh ibu angkat berlainan agama.
Dia dibesarkan oleh Hoi Lan sejak berusia dua bulan selepas ditinggalkan oleh ibunya warga Indonesia.
Gadis itu bagaimanapun gagal menyambung pelajaran ke universiti kerana tidak mempunyai kad pengenalan diri.
Kesulitan dihadapi dua beranak itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sementara itu, Rohana memberitahu, dia teruja untuk menghadiri kelas pertamanya.
Namun, pada masa sama bimbang keadaan ibu angkatnya yang tinggal bersedirian di rumah.
Menurut pelajar Diploma Sains Komputer itu, paling lama dia berpisah dengan Hoi Lan kira-kira dua minggu sahaja bagi menyertai aktiviti persekolahan.
Kata Rohana, hati ini bertambah berat apabila perlu meninggalkan Laoshi untuk tempoh yang lama dan berjauhan dari Kuala Lumpur.
Apatah lagi laoshi kini sudah tua dan tiada siapa yang menjaganya.
Sumber: Kosmo