Angka korban terbaharu akibat gempa bumi dahsyat di tenggara Turkiye dan sempadan Syria pada Isnin lalu sudah melepasi 7,800 orang.
Reuters melaporkan sebanyak 5,894 kematian direkodkan di Turkiye, manakala di Syria lebih 1,900 kematian dilaporkan.
Angka kematian dijangka terus bertambah selepas banyak lagi mayat ditarik keluar dari sisa runtuhan bangunan.
Pada Selasa, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa jumlah kematian di kedua-dua negara itu boleh melepasi 20,000.
Ketika ini pasukan penyelamat turut berdepan kesukaran dan bergelut dengan cuaca sejuk dalam usaha menyelamatkan nyawa mangsa yang masih terperangkap.
Semalam, Presiden Recep Tayyip Erdogan mengisytiharkan darurat selama tiga bulan bagi 10 wilayah yang terjejas akibat gempa bumi tersebut.
Agensi pengurusan bencana Turkiye berkata, ia mempunyai 11,342 laporan bangunan runtuh, di mana 5,775 disahkan ranap.
Kementerian Pengangkutan dan Infrastruktur Turkiye pula berkata dalam tempoh 24 jam lalu, sekurang-kurangnya 3,400 orang berteduh di dalam kereta api yang digunakan sebagai penginapan kecemasan.
Turkiye kini mengerahkan lebih 24,400 anggota mencari dan menyelamat ke kawasan gempa. – Agensi.
Sumber : SH
ARTIKEL YANG BERKAITAN
Korban Gempa Bumi Mencecah 1,498 Di Turkiye
Angka korban akibat gempa bumi Turkiye meningkat kepada 1,498, lapor Sputnik, memetik kenyataan ketua Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD), Yunus Sezer.
Sezer berkata kepada pemberita bahawa setakat ini, jumlah kematian ialah 1,498 orang, manakala 8,533 lagi cedera dan 2,834 bangunan dilaporkan musnah.
Sebelum ini, AFAD melaporkan sebanyak 1,121 kematian.
Gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter melanda tenggara Turkiye pada pagi Isnin.
Kerosakan turut dilaporkan di beberapa wilayah di Syria, manakala gegaran turut dirasai di ibu kota Lubnan, Beirut.
Di Syria, angka kematian kini melebihi 400 orang, manakala 1,300 lagi cedera.
Sumber: KMN