Seorang pesara dan isterinya dilaporkan telah saman anak dan menantu mereka sendiri kerana gagal memberikan cucu selepas enam tahun berkahwin.
Memetik laporan Times of India, kedua-dua mereka telah mengemukakan saman tersebut dengan alasan mengalami ‘gangguan mental’ disebabkan perkara itu.
Dalam kejadian di Haridwar, Uttarakhand, pasangan warga emas itu menuntut seorang cucu ‘dalam tempoh setahun’ atau wang sebanyak Rs 5 crore (RM 2.8 juta).
Mereka mendakwa bahawa wang itu adalah ganti rugi yang dibelanjakan untuk pendidikan anak mereka.
Jumlah tersebut juga dikatakan termasuk kos yang ditanggung untuk perkahwinan anak lelakinya di hotel lima bintang.
Selain itu, sebuah kereta mewah yang dihadiahkan kepadanya bernilai Rs 60 lakh serta wang yang dibelanjakan untuk berbulan madu di luar negara.
Petisyen itu telah dikemukakan oleh mahkamah tempatan di Haridwar pada Sabtu dan disenaraikan untuk dibicarakan pada 15 Mei.
“Saya ada seorang sahaja anak lelaki. Saya menghabiskan semua wang simpanan saya untuk membesarkannya termasuk memberikan pendidikan.
“Kami menghantarnya ke Amerika Syarikat pada tahun 2006 untuk kursus latihan juruterbang.
“Kos untuk kursus itu adalah sekitar Rs50 lakh, Beliau kembali ke India pada 2007 akibat kemelesetan ekonomi di luar negara.
“Dia telah kehilangan pekerjaannya dan tidak dapat mencari yang lain selama lebih dua tahun, saya juga menyokongnya dari segi kewangan dalam tempoh ini,” kata si bapa yang berusia 61 tahun.
Menurutnya, anak lelakinya itu kemudian mendapat pekerjaan di syarikat penerbangan swasta sebagai juruterbang sebelum memutuskan untuk berkahwin.
Mereka merestui perkahwinan itu pada 2016 dengan harapan anaknya akan memberikan cucu kepada mereka.
“Bagaimanapun, hampir enam tahun telah berlalu dan mereka masih tidak mempunyai anak.
“Kami menghadapi gangguan mental yang amat teruk,” kata mereka.
Tambah pasangan itu lagi, anak lelaki dan menantu perempuan mereka tinggal di dua bandar yang berasingan kerana pekerjaan mereka.
“Kami melayan menantu perempuan seperti anak perempuan kami sendiri walaupun dia jarang tinggal bersama kami.
“Kami juga memberitahunya bahawa jika dia bimbang untuk menjaga anak itu kerana pekerjaannya, dia boleh memberikan bayi itu kepada kami supaya kami dapat menjaganya.
Sementara itu, peguam mereka mendakwa bahawa kes saman anak dan menantu itu adalah yang pertama seumpamanya di Uttarakhand.
“Dari sudut pandangan ibu bapa, tuntutan mereka adalah wajar dan jangkaan mereka tidak salah,” katanya.
Sumber: Siakap Keli