“Guru Tidak Dibenar Mengajar, Atau Dipindah Ke Negeri Lain Jika Enggan Divaksin”-Radzi Jidin | Berikutan tular mengenai isu guru yang enggan divaksin, Menteri Pendidikan, Datuk Radzi Jidin menyatakan bahawa golongan guru yang enggan menerima vaksinasi COVID-19 akan berdepan dengan tindakan iaitu tidak akan dibenarkan untuk mengajar murid secara bersemuka, menurut laporan Awani.
Menurutnya, kementerian tidak mempunyai pilihan selain daripada mengambil tindakan berkenaan sebagai langkah untuk melindungi pelajar selain memaklumkan bahawa sekitar 2,000 guru yang enggan divaksin di seluruh negara.
Jelasnya lagi, guru-guru yang enggan menerima vaksin akan diambil tindakan dengan tidak membenarkan menjalani PdPR secara bersemuka serta mungkin terdapat pertukaran sama ada dalam negeri ataupun ke luar negeri bagi memastikan supaya perjawatan terbabit tidak terjejas.
Radzi turut melakukan tinjauan di beberapa sekolah di sekitar daerah Kuala Terengganu dan Marang.
Sebelumnya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dilaporkan telah mewajibkan semua penjawat awam untuk melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 sebelum 1 November ini menerusi laporan Awani.
Golongan guru merupakan antara 16,902 orang penjawat awam yang diminta hadir menerima vaksin secara walk-in ke pusat pemberian vaksin (PPV) disediakan kerajaan.
Sumber: Astro Awani