Hilang Tempat Bergantung Isteri Tabah Hadapi Dugaan Ramadan | Ramadan sering datang dengan pelbagai ujian tidak kira dari segi kesihatan, kewangan, tempat bergantung, hilang pekerjaan sehinggalah tragedi yang meragut.
Walaupun musibah seperti itu berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa, tetapi keperitan dan kesakitannya lebih dirasai pada bulan puasa lebih-lebih lagi ketika hari raya semakin hampir. Antara individu yang hebat diuji ialah seorang isteri yang sudah tiga tahun menjaga suaminya yang terlantar akibat sakit strok di Kampung Bukit Besar, Kuala Terengganu.
Roziana Mohamad, 41, berkata, tahap kesihatan suaminya, Saudi Ismail, 53, yang sebelum ini bekerja sebagai mekanik bertambah buruk sehingga tidak mampu lagi bekerja.
Sejak itu Roziana, berkata, keluarganya hilang kebergantungan dan hanya berharap kepada wang ihsan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin setempat.
Menurut Roziana, keadaan menjadi semakin sukar apabila dia juga tidak boleh keluar bekerja kerana perlu memberi tumpuan menguruskan suami dan anak-anak yang masih bersekolah. Rozianan turut mengatakan bahawa suaminya bukan sahaja mengalami strok, malah suaminya juga mempunyai kompilasi penyakit lain iaitu kencing manis, darah tinggi, buah pinggang dan masalah penglihatan kabur.
Bahagian perut suaminya juga ditebuk bagi saluran wayar untuk membolehkan proses dialisis dilakukan di rumah mereka. Jelasnya, keperluan bagi rawatan dialisis suaminya dibekalkan oleh pihak hospital manakala dia hanya perlu membayar RM600 sebulan untuk keperluan perubatan yang lain.
Ujarnya, selain membuat rawatan di rumah, suaminya juga perlu berulang alik ke Hospital Sultanah Nur Zahirah setiap tiga bulan sekali. Perbelanjaan keperluan makanan mereka sekeluarga perlu dicatu kerana baginya belum tentu lagi bantuan bulanan yang diberikan oleh JKM dapat menampung semua perbelanjaan mereka.
“Begitu juga dengan persiapan Ramadan dan Aidilfitri, kami sekeluarga membuat persiapan ala kadar setakat termampu. Mujurlah anak-anak memahami dan tidak minta yang bukan-bukan,” katanya.
Pasangan suami isteri itu mempunyai lima cahaya mata iaitu Muhammad Saifuddin, 19, Siti Najwa, 16, Siti Nor Idayu, 14, Muhammad Syawal Fitri, 11 dan Muhammad Ramadhan Muslim, 8.
Menurut Roziana, empat anaknya masih bersekolah di SMK Tengku Badariah dan SK Pasir Panjang manakala anak sulungnya yang berusia 19 tahun belajar di Giat Mara Bukit Payong. Roziana berkata, dia banyak bergantung harap kepada anak sulungnya terutama untuk menhantar dan mengambil adik-adik di sekolah.
Katanya, anak sulungnya telah banyak membantu dan berkorban. Selepas SPM, anaknya ada menerima tawaran untuk belajar di Selangor namun dia menolak ekoran memikirkan kesukaran ibunya untuk menjaga bapa dan adik-adiknya seorang diri.
“Saya terpaksa akur dan berharap dia boleh pergi lebih jauh serta dapat mencari pengalaman bekerja untuk membantu adik-adik yang masih bersekolah,” katanya.
Sumber: Sinar Harian