SEORANG wanita bertindak nekad apabila memandu kereta untuk meredah kepala air ketika banjir baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, Dayna Nuku yang membawa keluarganya di dalam kereta itu sempat merakam kejadian tersebut.
Video berkenaan dimuat naik di laman TikTok dan mendapat lebih sejuta tontonan setakat ini.
“Saya hanya risaukan anak-anak saya,” katanya kepada pemberita.
Selasa lalu, kampung halamannya ditenggelami air selepas dibadai taufan Gabrielle di Omahu, New Zealand.
View this post on Instagram
Ini menyebabkan ratusan penduduk memutuskan untuk berpindah, manakala sekurang-kurangnya empat orang terkorban termasuk seorang kanak-kanak.
Nuku yang juga ibu kepada lima anak itu berkata, dia tidak menerima sebarang notis pemindahan selain tidak menyangka kediamannya dilanda banjir teruk.
“Oleh itu, kami hanya angkat mana-mana barang yang sempat dan mendukung anak sebelum berpindah keluar dari rumah,” katanya.
Dalam video sama, Nuku yang membawa bersama abang dan kakak iparnya di dalam kereta berkenaan cuba sedaya upaya menaiki jambatan di Sungai Ngaruroro yang dinaiki air.
Kepala air yang semakin dahsyat menyukarkan keadaan, namun mereka akhirnya selamat tiba di jambatan tersebut.
“Saya rasa tiada siapa yang akan datang menyelamatkan kami dan satu-satunya jalan keluar adalah dengan melalui jambatan.
“Saya tahu ia mungkin kelihatan berisiko tetapi kami tahu ia adalah keputusan terbaik untuk anak-anak saya,” katanya yang kini tinggal di Flaxmere.
Sumber: Majoriti
Baca Juga: Lelaki Sanggup Meredah Banjir Demi Selamatkan Bapa Mertua Yg Lumpuh.
Marang: Meskipun bahaya, pengawal keselamatan Ibni Dauda Arifin sanggup meredah banjir bagi menyelamatkan bapa mentuanya, Ramli Awang Kechik yang lumpuh seluruh badan akibat diserang strok hemorrhagic iaitu pendarahan dalam kepala.
Kesungguhan Ibni Dauda, 44, dapat dilihat menerusi video dimuat naik video salah seorang ahli keluarga di TikTok.
Dalam rakaman video itu, Ibni Dauda dilihat bersungguh-sungguh menarik bapa mentuanya berusia 64 tahun yang baring di atas kayu di alas dengan kain walaupun air sudah berada pada paras dada.
Berkongsi kisah itu, Ibni Dauda berkata, dia menyelamatkan bapa mentuanya semalam sebelum masuk waktu Zuhur.
Bapa empat anak itu berkata, dia tidak berseorangan sebaliknya dibantu anak, Mohd Izzat Iskandar, 16, dan adik iparnya, Mohd Saudi Ramli, 36.
“Saya dan ayah tidak tinggal bersama. Ayah di Kampung Alor Wan Syed manakala saya tinggal berdekatan iaitu di Kampung Pengkalan Berangan dengan jarak dua kilometer (km).
“Oleh kerana ayah terlantar sakit jadi saya ambil tanggungjawab bantu bapa mentua memandangkan ramai anaknya tinggal berjauhan dengannya.
“Mencabar juga sebenarnya kerana paras air tinggi namun mujur anak dan adik ipar bantu saya untuk alihkan ayah daripada rumah ke tebing sebelum dibantu orang kampung untuk ke pusat pemindahan,” katanya.
Ibni Dauda berkata, apa dilakukannya hanya untuk jalankan tanggungjawab sebagai menantu.
“Ikutkan, ia bukan kali pertama saya bantu ayah ketika banjir malah pernah juga sebelum ini.
“Ia kerana kawasan rumah ayah memang sering dilanda banjir cuma kali ini paling buruk dalam sejarah,” katanya.
Sementara itu, adik iparnya, Mohd Saudi Ramli, 36, berkata, bapanya diserang strok sejak 15 Mac tahun lalu.
Mohd Saudi berkata, sejak itu, bapanya terlantar malah tidak boleh duduk mahupun bangun kerana lumpuh.
“Memandangkan air naik tinggi jadi saya, abang ipar dan anak saudara sepakat alihkan ayah ke tempat selamat.
“Kami ambil masa 20 minit juga untuk alihkan ayah dari rumah ke tebing kerana terpaksa bergerak perlahan berikutan air tinggi,” katanya yang juga anak kedua daripada sembilan beradik.
Sumber : KMN