Ibu Terima Ujian Anak Kehilangan Pendengaran Dan Penglihatan | Seorang ibu pastinya berasa sedih apabila anaknya yang berusia empat tahun itu kehilangan penglihatan mata kiri dan kini bakal kehilangan pendengaran akibat menghidap ‘chronic otitis media’.

Ibu Terima Ujian Anak Kehilangan Pendengaran Dan Penglihatan

Sungai Siput: Nur Mardhiah Shahadah Abdul Hadi pernah mendapat perhatian dari media tahun lalu apabila ketabahan kedua ibu bapanya, Nur Natasya Rasid, 25, dan Muhammad Iqmal Ramli, 25, menaiki motosikal sejauh 200 kilometer dari Ipoh ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) demi meneruskan rawatan kanser mata anaknya.

Namun, ujian berterusan menimpa pasangan muda itu apabila anak ketiga mereka itu perlu segera menjalani pembedahan di telinga bahagian kanan akibat jangkitan kuman pada bahagian dalam organ tersebut.

Menurut Nur Natasya, mereka perlu kuat dan tabah serta bersedia dari segi mental dan fizikal apabila anaknya itu akan kehilangan keseimbangan badan ketika berjalan selain mereka kehilangan senyuman yang manis daripada anaknya itu.

“Minggu lalu, doktor menerangkan bahawa anak kami akan hilang sebelah deria pendengaran, malah jalannya nanti tidak seimbang dan saraf muka akan rosak selain kemungkinan mengalami kerosakan otak.

“Kami masih tidak percaya dengan khabar baru itu tambahan keadaan dia yang mengalami paru-paru kronik,” kata Nur Natasya yang tetap reda dengan ketentuan-Nya terutama di bulan yang mulia ini.

Dia juga berharap agar orang ramai mendoakan kesihatan Mardhiah agar anaknya itu kembali sembuh. Ujian datang dari pelbagai cara dan keadaan namun yang kuat pasti boleh mengatasinya dengan hati yang tabah.

Sumber: Sinar Harian 

Share.

Leave A Reply