Mahkamah Rayuan Paris pada Isnin, menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap seorang pempengaruh atas pertuduhan melakukan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah lebih tiga juta euro (kira-kira RM13 juta).
Paul Antony, 25, yang dikenali sebagai PA7 melakukan tuntutan palsu bagi pembayaran perniagaan daripada kerajaan semasa krisis Covid-19.
Tuntutan itu dilakukan bagi pihak pekerja sendiri dan firma kecil yang dikenali menerusi laman sosial, Snapchat, dengan mengenakan potongan 40 peratus terhadap mereka.
Perbuatan itu didakwa dilakukannya bersama seorang rakan, Julien M, sejak Mac 2020.
Mahkamah mendapati, tertuduh memperoleh komisen lebih tiga juta euro daripada 700 kes yang difailkan berjumlah hampir 34 juta euro (kira-kira RM158 juta) iaitu kira-kira 7.5 juta euro (RM35 juta) yang diterima antara Mac 2020 sehingga Julai 2021.
Tertuduh dan Julien menghabiskan masa berbulan-bulan mempamerkan kekayaan di Dubai kepada 51,000 pengikut di Snapchat dan 13,000 pengikut di Instagram, sebelum mereka ditahan.
Antony mengaku bersalah atas penipuan dan pengubahan wang haram daripada jenayah terancang dalam perbicaraan kes sebelum ini, namun memfailkan rayuan terhadap hukuman itu.
Mahkamah rayuan mengurangkan tempoh penjara daripada tujuh kepada lima tahun dan dilarang menjalankan perniagaan selama 10 tahun.
Peguam Antony, Carole Foissy dan David-Olivier Kaminski berkata, mahkamah menggunakan undang-undang dengan baik dan adil.
Julien juga menerima pengurangan hukuman penjara daripada lima tahun kepada tiga tahun dan menjalani tempoh 18 bulan percubaan.
Sumber: HM
Berita Lain Yang Boleh Dibaca..
Influencer Papar Kekayaan, Tapi ‘Ini’ Pekerjaan Sebenarnya..
Pempengaruh Instagram (IG) Nigeria yang mempamerkan kekayaannya di media sosial dengan nama @hushpuppi dan Billionaire Gucci Master dijatuhi hukuman penjara 11 tahun di penjara, di Amerika Syarikat (AS).
Bloomberg melaporkan, Ramon Abbas, 40, dijatuhi hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah pada April tahun lalu atas konspirasi untuk terbabit dalam pengubahan wang haram.
Abbas membantu penggodam Korea Utara ‘mencuci’ wang daripada percubaan mereka untuk mencuri lebih daripada AS$1.3 bilion (kira-kira RM6.1 bilion) melalui rompakan bank secara dalam talian.
Abbas bersetuju mengaku salah sekali gus mengehadkan haknya untuk rayuan terhadap hukuman, walaupun masih boleh berbuat demikian.
Abbas, yang dilahirkan di Nigeria mempunyai pengaruh kuat di IG dengan lebih dua juta pengikut dan sering memuat naik gambarnya tersenyum di hadapan kereta Rolls-Royces atau Ferrari, atau duduk di dalam jet peribadi.
Di blog gosip, dia dikenali sebagai ‘Nigerian big boy’ iaitu singkatan untuk penipu dalam talian.
“Dia adalah penjenayah,” kata pendakwa dalam pemfailan mahkamah, memetik ‘sejarah panjang lelaki itu sebagai penipu dan pengubahan wang haram’.
Abbas hadir memakai jumpsuit penjara berwarna jingga dan digari, memberitahu hakim dia menghadapi masalah kewangan yang teruk pada 2019 apabila menerima tawaran daripada beberapa pihak untuk membantu mereka ‘mencuci’ wang haram.
“Saya terdesak, Yang Arif. Saya sangat terdesak,” katanya.
Abbas meminta maaf kepada mangsanya dan berjanji untuk membayar balik sepenuhnya dengan menjual dua Rolls-Royces, Ferrari dan Range Rover miliknya.
Dalam surat kepada hakim, Abbas sekali lagi memohon maaf atas tindakannya.
“Jika saya boleh memutar balik masa, saya akan membuat keputusan yang sama sekali berbeza dan lebih berhati-hati dalam (membuat) pilihan dan (memilih) rakan,” tulisnya dalam surat tulisan tangan itu.
Sumber: HM