Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menasihatkan pendakwah bebas, Ustazah Siti Afifah Shahbudin dan suaminya agar menggunakan pendekatan yang sesuai dan berhikmah dalam menyampaikan dakwah.

Jakim Nasihat Ustazah Afifah, Suami Dakwah Secara 'Hikmah'

JAKIM dalam kenyataan kepada Harian Metro berkata, pihaknya mengambil maklum berkaitan video tular di media sosial yang memaparkan sepasang penceramah suami isteri yang sering mengeluarkan kenyataan kontroversi termasuk mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap agamawan tertentu.

“JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri sentiasa membuat pemantauan kandungan berkaitan hal ehwal agama Islam yang dipaparkan kepada khalayak khususnya melalui penggunaan media sosial yang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat mutakhir ini.

“Semua pihak khususnya golongan yang bergelar sebagai pendakwah adalah dinasihatkan agar sentiasa menggunakan pendekatan yang sesuai dan berhikmah dalam menyampaikan dakwah. Kenyataan yang bersifat kontroversi dan boleh menimbulkan kegusaran awam hendaklah dielakkan,” katanya.

Sebelum ini tindakan Siti Afifah dan suaminya yang didakwa sering mengeluarkan kenyataan mengelirukan membabitkan hukum agama mengundang pelbagai reaksi warganet.

Terbaru, pasangan itu bertindak mengkritik malah mengancam bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap agamawan yang menegur mereka.

JAKIM berkata, semua pendakwah di negara ini adalah terikat dengan sistem pentauliahan di bawah pihak berkuasa agama Islam di negeri-negeri.

“Sebarang perlakuan yang bercanggah dengan peraturan dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa boleh dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

“Adalah wajar untuk semua pihak mengambil pendekatan sederhana dalam setiap aspek tanpa mengabaikan tuntutan syarak termasuk mengutamakan keharmonian hidup dalam masyarakat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Berita Berkaitan..

Ahmad Marzuk Minta Rujuk Maklumat Yang Benar Ketika Dakwah.

Setiap agamawan yang mahu membuat kenyataan atau berdakwah perlu merujuk kepada maklumat yang benar serta melihat daripada semua sudut dan bukan menjatuhkan hukum sesuka hati.

Ahmad Marzuk Minta Rujuk Maklumat Yang Benar Ketika Dakwah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary turut menasihatkan orang ramai supaya mengikut hukum yang dinyatakan mufti berkaitan dakwaan seorang pendakwah bebas wanita mengenai suami yang membiarkan isteri bersalin dengan disambut oleh doktor lelaki sebagai dayus.

“Kalau dalam sesuatu keputusan muzakarah, pandangan hukum dan fatwa membolehkan, kita ikut yang itu lah dan jika fatwa melarang, menegah, bahkan menyesatkan, jangan kita ikut.

“Nasihat saya ialah setiap agamawan yang ingin bercakap membuat kenyataan perlu merujuk kepada maklumat yang benar dan melihat dari semua sudut, jangan semua kita nak jadi mufti.

“Memang betul keutamaan kita kalau isteri bersalin kena cari doktor perempuan tapi kalau tiada nak buat macam mana, membahayakan nyawa maka dari sudut itu mengutamakan nyawa lebih utama dari memilih doktor perempuan sehingga tak jadi bersalin,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sejak minggu lalu, kenyataan pendakwah bebas wanita berkenaan tular hingga menimbulkan perdebatan dalam kalangan netizen selain mengecam tindakan berkenaan.

Selain itu, Ahmad Marzuk yang juga calon PAS Parlimen Pengkalan Chepa berkata, umat Islam di negara ini dinasihatkan sentiasa berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah agar tidak mudah terpengaruh dengan kumpulan ajaran sesat.

Beliau berkata, sudah menjadi keutamaan pihaknya untuk menangani isu ajaran sesat di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) namun peranan utamanya adalah terletak dalam diri individu itu sendiri.

“Nasihat saya kepada semua umat Islam supaya berpegang teguh dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang memang menjadi pegangan kita. Jangan ada unsur lain untuk dibawa masuk dalam negara yang boleh mempengaruhi sehingga ramai dalam kalangan negara kita terbabit dalam ajaran sesat.

“Ini antara yang kita usahakan agar tidak berulang tapi kalau tetap ada, kita sedia tangani dari semasa ke semasa kerana kita berkolaborasi dengan semua negeri dalam usaha menangani kumpulan ajaran sesat dengan kefahaman Islam yang sebenar, tulen dan tidak direka dengan ajaran baru yang bermutasi membentuk seakan-akan itu adalah ajaran agama Islam,” katanya mengulas mengenai kumpulan jemaah umrah yang terkandas di Arab Saudi dan dikatakan dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan ibadah umrah pada Jun lalu.

Semua 63 jemaah itu selesai dibawa pulang ke tanah air dengan kumpulan terakhir membabitkan baki 23 orang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Ketua kumpulan tarekat terbabit dilaporkan diusir keluar oleh Kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos lalu kerana didakwa melanggar undang-undang tempatan dan gerakan itu dipercayai kononnya merancang untuk menunggu kemunculan Imam Mahdi di Arafah pada hari wukuf lalu, namun hampa apabila langsung tidak dibawa ke Mekah.

Ahmad Marzuk berkata, kewujudan kumpulan ajaran sesat bukan sesuatu yang baharu dan menjadi keutamaan pihaknya untuk memerangi isu itu kerana selain menjejaskan akidah umat Islam ,oa juga boleh mengancam keselamatan negara.

“Sebenarnya kumpulan ajaran seperti ini bukan perkara baharu tapi memang sudah lama dan kita tahu mereka mungkin boleh mengancam keselamatan negara, sebab itu menjadi keutamaan kita untuk memerangi kumpulan ajaran sesat ini supaya mereka tidak bertapak dan berkembang biak dalam negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Marzuk yang juga calon PAS Parlimen Pengkalan Chepa untuk Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15), memaklumkan gerak kerjanya sepanjang kempen sejak Sabtu lalu berjalan lancar meskipun berdepan dengan saingan lima penjuru.

Ketika diminta mengulas mengenai suasana kempen yang dilihat agak suram dan tidak begitu meriah berbanding PRU sebelum ini, beliau berkata, kaedah berkempen kini sudah berubah dan lebih relevan menerusi media sosial.

“Kita berada dalam era media sosial dan kebanyakan kempen lebih teratur melalui platform itu dan kadang-kadang data yang menjadi asas (sesuatu parti) menang kalah atau ketinggalan jauh ke belakang adalah berdasarkan media sosial. Kempen semakin berubah namun tiada kesuraman sebaliknya tetap meriah kerana kami masih mengekalkan kaedah ziarah dan santuni rakyat sepanjang masa.

“Rekod cemerlang sepanjang menjadi penyandang parlimen itu menjadi sandaran utama untuk menempah kejayaan yang sama pada 19 November nanti. Meskipun berdepan dengan saingan lima penjuru, beliau menyifatkan pertandingan itu adalah sesuatu yang sihat kerana masing-masing mengamalkan ‘warna-warni demokrasi’, katanya.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply