Jika Ditawar Jawatan TPM. Ini Jawapan DS Abd Hadi Awang Buat Ahli PAS Respek

| March 5, 2020 | 2 Comments

Jika Ditawar Jawatan TPM. Ini Jawapan DS Abd Hadi Awang Buat Ramai Respek | Sudah seminggu politik sedikit lega dan banyak khabar angin tersebar tentang barisan kabinet baru PM Ke 8. Ketika ditanya wartawan jika ditawar jawatan TPM, ini jawapan Presiden PAS buat ahli PAS respek.

Terima Jawatan TPM

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersifat terbuka sekiranya beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi mengisi barisan Kabinet baharu kerajaan Perikatan Nasional.

Bagaimanapun, Abdul Hadi menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam membuat keputusan kerana beliau bukanlah individu yang mengejar jawatan.

“Saya terbuka kepada Perdana Menteri dan tidak mewajibkan saya dipilih. Kalau saya tidak dipilih pun tidak apa, saya balik jadi nelayan, tidak ada masalah.

“Saya nak bekerja untuk negara, terbuka. Yang calonkan saya itu rakyat, orang biasa. Bukan orang biasa calonkan, patutnya perdana menterilah. Bukan si anu si anu yang calonkan saya, ada orang syok orang calonkan dia tapi saya tidak syok orang calonkan saya,” katanya pada sidang media di Masjid Rusila di sini hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Ditanya sama ada Pas mengemukakan calon cadangan mengisi jawatan menteri, Abdul Hadi berkata, parti itu hanya memberikan konsep, namun keputusan memilih diserahkan sepenuhnya kepada Muhyiddin.

Namun katanya, barisan Kabinet yang dilantik perlu terdiri daripada golongan profesional termasuk bukan Islam seiring dengan keadaan masyarakat semasa negara ini yang berbilang kaum.

“Pas memberi konsep sahaja, nak pilih siapa serah kepada Perdana Menteri dan mengambil kira masyarakat majmuk kalangan bukan Islam walaupun mereka tidak ramai dipilih, yang menyokong kita MCA dua kerusi saja.

“Perlu juga lantik kalangan profesional, kalangan bukan Islam termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

Bersatu Terengganu Dan Armada Kelantan Calon DS Abdul Hadi Sebagai TPM

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu menganggap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang calon paling layak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Ketuanya, Senator Datuk Razali Idris berkata, cadangan itu bersesuaian dengan latar belakang Abdul Hadi kerana pemimpin itu tidak pernah terpalit dengan isu salah guna kuasa atau skandal rasuah sepanjang terlibat dalam politik.

Selain itu katanya, gandingan pemimpin Pas itu bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dilihat mampu meredakan kemelut politik yang dilihat masih belum berakhir sepenuhnya.

“Jadi, dari sudut demokrasi, ternyata Abdul Hadi yang juga merupakan bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia itu lebih layak berdasarkan pengalaman dan rekod bersihnya dalam politik.

“Cadangan (Abdul Hadi) ini juga untuk meredakan krisis pemilihan jawatan itu, namun lebih utama semua pihak perlu menghormati prerogatif Perdana Menteri untuk menentukan siapa timbalan beliau,” katanya ditemui hari ini.

Terdahulu, suara tidak puas hati dalam kalangan pimpinan Bersatu negeri mula kedengaran dalam memastikan jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak diserahkan kepada pemimpin terlibat skandal rasuah.

Sementara itu, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Kelantan, Asran Alias berkata, semua pihak harus menghormati Presiden Bersatu yang kini menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia kelapan.

Menurutnya, UMNO tidak perlu menekan Perdana Menteri untuk memilih Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.

“Tan Sri Muhyiddin telah jelaskan, beliau akan mengambil ahli Kabinet yang bersih dan berintegriti sahaja.

“Maka Datuk Seri Zahid yang masih terpalit dengan skandal rasuah tidak patut diangkat menjadi pimpinan utama,” katanya semalam.

Ini susulan tindakan UMNO Kedah menetapkan pendirian mereka supaya Ahmad Zahid menganggotai semula barisan Kabinet baharu Perikatan Nasional dan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Dalam masa sama, Armada Kelantan turut mencadangkan Abdul Hadi selaku calon Timbalan Perdana Menteri bagi menggalakkan pembangunan di negeri itu.

Sumber: Sinar Harian

Tags: , , , , , , , ,

Category: SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *