Kakak Tidak Putus Asa Cari Adik Walaupun Sudah 19 Tahun Hilang | PETALING JAYA – Meskipun sudah 19 tahun berlalu, namun ahli keluarga seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang sejak tahun 2004 tidak perrnah berputus asa untuk mengesannya.

Ciapan di Twitter oleh AmeeraSyafeeqa tentang hal berkenaan mencuri perhatian orang ramai sejak petang semalam sehingga mendapat tontonan lebih 165,000 serta 1,337 sukaan.

“Siapa kenal budak ini? Adik saya umur tiga tahun hilang pada tahun 2004. Mungkin muka sekarang dah lain,” ciapnya di Twitter semalam.

Menerusi hantaran sama, dia memuat naik dua keratan akhbar berita kehilangan adiknya, Amirul Azam yang berusia tiga tahun pada Jun 2004.

Berdasarkan laporan akhbar bertajuk “Anak hilang dalam jagaan bekas suami” tersebut, kanak-kanak itu hilang di luar rumah ketika berada di bawah jagaan bapanya.

Rata-rata netizen mendoakan semoga kanak-kanak yang hilang itu ditemui semula oleh ahli keluarganya suatu hari nanti.

Sumber: Kosmo

 

Pelajar 17 Tahun Gemar Menyendiri, Hilang Tanpa Jejak Hampir 3 Hari | SEORANG pelajar lelaki berusia 17 tahun dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat berpakaian hitam di rumah keluarganya dekat Bandar Baru Klang, Selangor pada Isnin.

Izanur Hossain, 17, yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Sri Acmar, Klang, gagal dihubungi pihak keluarganya selepas tidak hadir ke sekolah pada hari sama.

Menurut adiknya, Hazim Yamen, 14, abangnya tidak keluar bilik tetapi hanya terdengar suaranya sahaja selepas beberapa kali dikejutkan untuk ke sekolah pada hari tersebut.

Katanya, ketika kejadian, kedua ibu bapanya berada di Rawang, Selangor.

Jelasnya, sudah menjadi kebiasaan buat dua beradik itu berjalan kaki ke sekolah bersama pada setiap hari, namun pada hari tersebut, Yamen terpaksa bersendirian selepas abangnya lewat bangun untuk ke sekolah.

Mula menyedari abangnya tidak hadir ke sekolah pada hari itu, Yamen kemudiannya terus bergegas ke rumah untuk melihat keadaan abangnya.

“Saya mula sedar abang tidak hadir ke sekolah apabila sesi sudah tamat sekitar pukul 3 petang.

“Sebaik tiba di rumah, pintu pagar luar rumah tidak berkunci dan saya terus ke bilik abang dan ketuk pintu biliknya tetapi tidak berjawab, jadi saya ingatkan dia tidur.

“Saya pun biarkan sampai pukul 7 malam, selepas itu bila saya masuk tandas, ada duit RM50 dan kepingan kertas bertaburan di lantai.

“Agak panik ketika itu, pintu bilik abang berkunci dan saya terus ambil gunting umpil pintu biliknya sampai terbuka. Sebaik masuk saya tengok telefon pintar dia dah tak ada gambar, nombor dan mesej Whatsapp sudah hilang,” ujarnya kepada Majoriti.

Jelasnya, terdapat nota tulisan tangan yang ditinggalkan di atas meja bilik abangnya dan perkara itu mengundang kerisauan buat keluarganya selepas Izanur Hossain gagal dihubungi.

“Ada memo yang ditinggalkan, bertulis “Jaga diri semua, selamat tinggal” atas meja bilik abang dan beberapa rakannya juga turut menerima pesanan yang sama melalui Whatsapp,” katanya.

Tambahnya, dia sekeluarga tidak tahu apakah punca sebenar perkara itu berlaku dan setakat yang mereka tahu abangnya tiada sebarang masalah dengan mana-mana pihak ataupun musuh yang boleh dikatakan sebagai suspek kejadian.

Selain itu, kelakuan abangnya juga yang semakin kurang berinteraksi dan gemar menyendiri beberapa hari lalu turut meninggalkan persoalan dalam kalangan keluarganya namun tiada andaian dibuat sebelum kejadian itu berlaku.

Difahamkan pihak keluarga Izanur telah membuat laporan kehilangannya di Balai Polis Klang Utara.

Setakat ini, masih belum ada sebarang penemuan dilaporkan pihak polis dan siasatan masih dijalankan berhubung kes tersebut.

Sumber: Majoriti

Share.

Leave A Reply