Kanak-Kanak Hiperaktif Maut Terjatuh Dari Tingkat 11 Pangsapuri | KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 11 di kediamannya di Pangsapuri Intan, Jalan Intan 4, Taman Puchong Intan, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman, berkata kejadian dilaporkan kepada polis oleh orang awam jam 6.45 petang, sebelum sepasukan anggota ke lokasi dan menemui mayat mangsa dalam keadaan terlentang di atas bumbung tempat letak kenderaan di aras dua Blok A pangsapuri itu.
Beliau berkata, pasukan perubatan yang hadir ke lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dengan kesan kecederaan pada tengkorak, siku dan betis.
“Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai terjatuh dari kediamannya di tingkat 11 pangsapuri berkenaan.
“Ketika kejadian, ibu mangsa berada di rumah dan bekerja secara ‘online’ (dalam talian), manakala bapanya pula berada di kuil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abd Khalid berkata, ibu mangsa memaklumkan sebelum kejadian anaknya itu sedang bermain permainan video bersama tiga adik beradiknya yang lain sebelum menyedari ketiadaannya dan cuba mencari di serata rumah.
“Menurut ibunya, mangsa adalah seorang kanak-kanak yang menghidap sindrom Kecelaruan Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan (ADHD) dan hiperaktif.
“Siasatan juga mendapati tidak wujud unsur jenayah dalam kes ini dan siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong dikejarkan ke lokasi sebaik menerima laporan kejadian jam 6.55 petang.
“Sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama satu jentera FRT dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) tiba di lokasi kejadian jam 7.05 malam.
“Bagaimanapun, anggota bomba mendapati mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada BH.
SUMBER : Berita Harian