Kapal membawa puluhan pelarian Rohingya mendarat di pantai dekat Aceh, Indonesia hari ini, hasil tuntutan pertubuhan kemanusiaan supaya membenarkan mereka berlabuh, selepas hanyut di laut selama sebulan.

Kapal Bawa Pelarian Rohingya Tiba di Pantai Aceh

Memetik laporan agensi berita ANTARA, seramai 57 lelaki warga Rohingya tiba di pantai daerah Aceh Besar. Beberapa orang dilaporkan sakit.

Portal Detik.com yang memetik kenyataan Ketua Polis Daerah, Rolly Yuiza Away, berkata kumpulan itu berehat di pantai dan pihak berkuasa belum memutuskan tindakan terhadap mereka.

Etnik Rohingya melarikan diri daripada penganiayaan di negeri asal mereka, iaitu di Rakhine, Myanmar termasuk tidak tahan dengan keadaan teruk di kem pelarian di Bangladesh.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR) kelmarin mengeluarkan kenyataan yang menyeru kerajaan serantau, untuk menyelamatkan sekurang-kurangnya 190 warga Rohingya yang hanyut di Laut Andaman dan Teluk Benggala.

Menurut UNCHR, ada kapal yang membawa warga Rohingya dikesan masih hanyut di tengah laut tanpa bekalan makanan dan sedikit air.

Sebanyak 20 orang maut semasa pelayaran.

Kata Pengarah UNCHR Asia dan Pasifik dalam satu kenyataan, sangat menyedihkan apabila mengetahui ramai kehilangan nyawa, termasuk kanak-kanak. Malangnya, situasi ini menjadikan ini tahun paling ramai maut di laut di rantau ini.

Sumber: Berita Harian

Berita Berkaitan..

Bot Bawa Lebih 100 Warga Rohingya Mendarat Di Pantai Indonesia

Lebih 100 pelarian warga Muslim Rohingya yang menaiki bot kayu mendarat di pantai wilayah paling utara Indonesia di Aceh, kumpulan kedua dalam tempoh beberapa hari lalu yang tiba di wilayah paling utara di Indonesia.

Ketua sub daerah Dewantara, Nawafil Mahyudha, berkata kumpulan berkenaan terdiri daripada 61 orang lelaki, 36 wanita dan 22 kanak-kanak mendarat pagi tadi di kampung Bluka Teubai, daerah Aceh Utara telah dibawa ke balai nelayan dan akan tinggal di sana sementara menunggu maklumat lanjut daripada pihak berkuasa tempatan.

Sekumpulan 110 orang pelarian Rohingya yang dalam keadaan lemah dan kelaparan turut mendarat di daerah Aceh Utara semalam selepas menaiki bot selama lebih sebulan.

Mereka menyasarkan Malaysia selepas meninggalkan Myanmar tetapi terkandas di perairan Aceh.

Pada Mac, 114 orang pelarian Rohingya turut ditemui di sebuah pantai di daerah berdekatan, dekat Bireuen.

Beratus-ratus ribu Muslim Rohingya telah melarikan diri dari Myanmar yang majoritinya diduduki penganut agama Buddha ke kem pelarian di Bangladesh sejak Ogos 2017, apabila tentera Myanmar melancarkan operasi sebagai tindak balas terhadap serangan kumpulan pemberontak.

Pasukan keselamatan Myanmar telah dituduh melakukan jenayah rogol besar-besaran, pembunuhan dan pembakaran membabitkan beribu-ribu rumah Rohingya.

Kumpulan Rohingya telah cuba meninggalkan kem di Bangladesh melalui laut untuk mencari kehidupan yang lebih baik di negara majoriti Islam lain di rantau ini.

Malaysia telah menjadi destinasi biasa bagi bot pelarian walaupun ramai pelarian Rohingya yang mendarat di sana menghadapi tahanan.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply