Kapal Persiaran Berpatah Balik Ke Singapura, Akibat Bawa Penumpang Disyaki Positif Covid-19 | Sebuah kapal persiaran mewah, Dream Cruises terpaksa berpatah balik ke Singapura selepas menerima khabar bahawa seorang daripada penumpang telah disyaki positif Covid-19 berada di atas kapal itu.

Kapal Persiaran Berpatah Balik Ke Singapura, Akibat Bawa Penumpang Disyaki Positif Covid-19

Kapal terbabit tiba di Pusat Persiaran Marina Bay pada pagi ini selepas meninggalkan Singapura jam 9 malam Ahad lalu untuk pelayaran selama empat hari.

Seorang penumpang yang menaiki kapal itu memberitahu Mediacorp, satu pengumuman kira-kira jam 1 pagi semalam memaklumkan seorang penumpang yang berusia 40 tahun diuji positif Covid-19 berada di atas kapal itu.

“Semua penumpang diminta supaya kembali ke bilik masing-masing dan semua aktiviti di atas kapal dihentikan,” katanya.

Difahamkan, kes Covid-19 berkenaan dikatakan berpunca kontak rapat dengan satu lagi kes, sebelum menaiki kapal persiaran terbabit.

Sementara itu, Dream Cruises telah menyambung semula operasinya dengan jumlah 50 peratus penumpang.

Sebelum ini, Dream Cruises dan Royal Caribbean mula menawarkan pelayaran tanpa destinasi masing-masing pada November dan Disember tahun lalu sebagai sebahagian daripada satu skim perintis yang membolehkan perjalanan pergi balik tanpa berlabuh di mana-mana.

Pada Disember tahun lalu, pelayaran kapal Quantum of the Seas Royal Caribbean disingkatkan apabila ia terpaksa berpatah balik lebih awal daripada yang dijadualkan selepas seorang penumpang diuji positif Covid-19. 

Sumber: Berita Harian 

Share.

Leave A Reply