Negeri Sembilan Catat Rekod penderaan Fizikal Kanak-Kanak Tertinggi Setakat Jun | Setakat tempoh enam bulan iaitu bermula januari sehingga jun yang lepas, sebanyak 142 kes penderaan kanak-kanak direkodkan di Negeri Sembilan.
Menurut Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Rosnah Sardi, daripada jumlah itu kes penderaan fizikal merekodkan angka tertinggi iaitu sebanyak 85 kes, diikuti penderaan seksual 36 kes, pengabaian (13), dera emosi (4) dan ditinggalkan ibu bapa atau tiada ibu bapa (4).
Kes penderaan pada tahun lalu turut mencatatkan angka tertinggi iaitu sebanyak 60 daripada 160 kes bagi tempoh sama dengan keseluruhan kanak-kanak diselamatkan bagi 2020 ialah 341 individu. Kes penderaan dan penganiayaan membabitkan kanak-kanak itu memberi isyarat jelas bahawa ia sesuatu yang membimbangkan dan perlu ditangani segera
Kanak-kanak yang diselamatkan itu akan diserahkan kepada Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS), terdiri daripada saudara mara ibu bapa atau penjaga yang disyaki mendera mereka, atau mana-mana individu yang layak serta sesuai, untuk memberi perlindungan dan kebajikan kepada kanak-kanak terbabit.
Selain itu, terdapat juga diantara mereka yang akan ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak atau tempat selamat yang diwartakan di bawah Seksyen 54 Akta Kanak-Kanak 2001 bagi tempoh tiga tahun atau sehingga berumur 18 tahun.
Tambahnya lagi, antara faktor berlakunya penganiayaan terhadap kanak-kanak ialah masalah kewangan, kecuaian ibu bapa, kepincangan dalam keluarga seperti pengambilan dadah, kelahiran anak tanpa perkahwinan yang menyebabkan bayi ditinggalkan.
JKM turut melaksanakan pelbagai usaha bagi mengatasi masalah sebegini daripada berterusan berlaku. JKM menyediakan khidmat sokongan dan advokasi kepada keluarga dan kanak-kanak yang berisiko tinggi terdedah pada penderaan dan pengabaian, melalui sembilan pusat aktiviti kanak-kanak di negeri ini.
Pihaknya turut bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Pendidikan Negeri, Polis Diraja Malaysia dan Pejabat Kesihatan Negeri menerusi program Kempen Keselamatan Kanak-Kanak ‘Sahabat Bijak’.