Lima Sahabat Mengaku Tidak Bersalah Terbabit Perhimpunan Di Parit Raja

| July 13, 2021 | 0 Comments

Lima Sahabat Mengaku Tidak Bersalah Terbabit Perhimpunan Di Parit Raja | Lima sahabat termasuk tiga siswa telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pagi ini atas pertuduhan menyertai perhimpunan, dengan tidak memakai pelitup muka dalam kejadian di Persimpangan Lampu Isyarat Parit Raja pada 13 Mei lalu.

Lima Sahabat Mengaku Tidak Bersalah Terbabit Perhimpunan Di Parit Raja

Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Hafizulhimi Zailan, 23, Muhamad Farrhan Mohd Basri, 22, Mohammad Faizul Naim Ahmad, 23, Muhamad Al Azim Abd Rasid,19 dan Nur Muhamad Afif Norazam, 23 mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Majistret Mohd Syafiq Mustaza.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan aktiviti terlarang dengan menyertai perhimpunan tanpa memakai pelitup muka dan didakwa melakukan kesalahan di bawah peraturan 9 yang boleh dihukum di bawah peraturan 17(1) peraturan yang sama.

Sementara itu, berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh di dakwa pada 13 Mei 2021 jam 2.00 pagi berada di persimpangan lampu isyarat Parit Raja, Batu Pahat yang juga tempat dalam kawasan tempatan jangkitan yang bukan bertujuan melakukan apa-apa perkara yang diperuntukkan mengikut Peraturan 5 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Terdahulu, dalam prosiding yang dijalankan secara berasingan, Timbalan Pendakwa Raya, Hayatulwirdah Mohd Yunos memohon agar tertuduh dikenakan jaminan bernilai RM6,000 bagi setiap seorang.

Bagaimanapun, peguam bela, Mohd Fared Mohd Khalid dalam rayuannya memohon mahkamah untuk mempertimbangkan semula jumlah berkenaan berikutan tiga daripada mereka masih menuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan dua lagi kini hilang pekerjaan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, Mohd. Fared juga meminta mahkamah mengambil kira rekod bersih atas kelima-lima tertuduh yang juga selaku Orang Kena Saman (OKS).

Majistret, Mohd Syafiq Mustaza, kemudian memutuskan jumlah jaminan sebanyak RM1,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam laporan media sebelum ini, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, dilaporkan berkata, sekumpulan individu berusia 16 hingga 28 tahun ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kejadian tunjuk perasaan di Parit Raja, Batu Pahat, Mei lalu.

Katanya, tangkapan dibuat susulan operasi khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mengesan dan menahan mereka yang terbabit dalam kejadian tunjuk perasaan, membakar suar dan menaikkan kain rentang di Parit Raja.

“Kumpulan berkenaan membuat halangan dengan menggunakan motosikal dan kereta terhadap pengguna kenderaan yang melalui jalan berkenaan.

“Tunjuk perasaan itu berlaku hampir 15 minit bagi menarik perhatian orang ramai selain memasang kain rentang yang menyatakan bantahan kepada kerajaan serta membakar suar.

“Kain rentang yang sama juga dibawa dan digantung di jejantas di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kong Nan Parit Raja sejurus selepas kejadian,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Tags: , , ,

Category: INFORMASI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *