ATM Bantu HTAR Uruskan Mayat Pesakit Covid-19 | Isu mayat pesakit Covid-19 yang terlalu banyak di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) sehingga mencetuskan kebimbangan masyarakat mendapat perhatian Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata, pasukan ATM bakal menghantar bantuan aset dan anggota bagi menyelesaikan isu mayat pesakit Covid-19 di hospital itu.
Katanya, bantuan dan kerjasama ATM itu adalah hasil perbincangan di antara Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah dengan pihak ATM.
Jelasnya, pihak ATM akan membantu mempercepatkan urusan untuk membawa mayat-mayat berkenaan bagi proses pengebumian mengikut agama masing-masing dan aset-aset ATM juga boleh digunakan bagi tujuan ini.
Hasil bantuan dari pihak ATM ini akan dapat menampung kekurangan pegawai inspektor kanan (IK) di Pejabat Kesihatan Daerah Klang. Sebelum ini, IK yang menguruskan pengebumian jenazah berkenaan.
Beliau mengulas mengenai rakaman video tular di media sosial yang memaparkan keadaan mayat pesakit COVID-19 yang terpaksa diletakkan di atas lantai secara berlapis di HTAR selepas bilik mayat berada pada tahap kapasiti penuh.
Dr Zulkarnain mengesahkan kesemua mayat tersebut positif Covid-19 namun beliau enggan menyatakan jumlah sebenar jenazah itu yang berada di HTAR ketika ini.
Menurutnya, prosedur meletakkan ‘tagging’ pada si mati terutama nama mereka dan butiran lain dilaksanakan dengan cukup teliti bagi memudahkan urusan pengebumian dan ketika ini, semua mayat berkenaan sudah ditempatkan di dalam kontena sejuk beku dengan suhu negatif 11 darjah celcius bagi mengelakkan berlaku pereputan.
Beliau mengakui, masalah yang terjadi sebelum ini juga disebabkan pihaknya tidak mempunyai peti simpanan mayat yang mencukupi namun isu terbabit telah berjaya diselesaikan dan keadaan kini terkawal.
Katanya, secara keseluruhan pihaknya di situ menerima tiga kontena dan jumlah itu mencukupi.
Dua daripada tiga kontena itu hasil dari pemberian kerajaan daripada lapan kontena yang diagihkan di seluruh negeri ini, manakala satu lagi adalah sumbangan yang diterima sebelum ini.
Jelas beliau, kes kematian akibat jangkitan Covid-19 yang tinggi di HTAR disebabkan kebanyakan pesakit yang dirawat terdiri daripada mereka dalam kategori empat yang memerlukan bantuan oksigen.
Tambahnya, kemungkinan pesakit datang lambat untuk rawatan yang menyebabkan kebarangkalian untuk sembuh agak tipis.
Oleh itu, pihaknya berharap orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan selalu mencuci tangan serta tidak keluar rumah sekiranya tiada keperluan.
Sumber: Metro