Kawalan Pergerakan Covid-19. Ini Titah YDP Agong Yang Ditunggu Ramai

| March 17, 2020 | 2 Comments

Kawalan Pergerakan Covid-19. Ini Titah YDP Agong Yang Ditunggu Ramai | Ekoran kes positif Covid-19 telah meningkat kepada 673 dan 2 kematian, ini titah YDP Agong yang ditunggu ramai. Baca selanjutnya.

DUDUK DIAM DI RUMAH, USAH BERCAMPUR DENGAN ORANG

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam menitahkan rakyat agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini sehingga 31 Mac 2020.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka menzahirkan bahawa rakyat perlu menghadapi situasi itu dengan penuh tenang dan tidak cemas bagi membantu kerajaan serta pihak berkuasa membendung penularan jangkitan koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, Seri Paduka menggesa rakyat agar tidak mengambil sikap mudah dan sambil lewa terhadap Perintah Kawalan Pergerakan.

“Rakyat turut diminta untuk mengikuti panduan dan langkah pencegahan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) kerana ini adalah tanggungjawab kita bersama terhadap kesejahteraan dan keselamatan keluarga, masyarakat dan negara yang kita cintai ini.

“Seri Paduka amat prihatin dengan perkembangan terkini berikutan 125 kes terbaharu semalam dengan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 553 kes.

“Seri Paduka amat memandang serius terhadap jumlah peningkatan jangkitan baharu di negara ini dan menaruh penuh kepercayaan kepada kerajaan dan semua pihak berkuasa dalam menjalankan tanggungjawab membendung penularan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka sedar bahawa rakyat mungkin merasakan bahawa tindakan yang diambil oleh kerajaan menimbulkan kesulitan untuk menjalani kehidupan seharian.

Bagaimanapun, katanya, rakyat perlu faham dan bersabar kerana kerajaan tidak boleh menunggu sehingga situasi menjadi lebih meruncing untuk mengambil tindakan yang drastik.

“Selaku Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong turut menyeru supaya rakyat Malaysia dari pelbagai bangsa dan agama, bersatu dan bersama berganding bahu memainkan peranan membantu kerajaan dalam menangani penularan Covid-19 di negara ini.

“Seri Paduka yakin dengan semangat kental, keprihatinan dan kerjasama yang rakyat berikan, kita mampu membendung penularan wabak ini dengan cepat dan berkesan” katanya.

Ahmad Fadil turut menyatakan bahawa Seri Paduka menggesa rakyat menghubungi Khidmat Nasihat Kesihatan Dalam Talian atau Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) melalui laman sesawang Kementerian Kesihatan (KKM) untuk sebarang keraguan serta pertanyaan.

“Ia bagi mengelak penyebaran berita dan maklumat palsu yang boleh mencetuskan panik dan kekeliruan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Tags: , , , , ,

Category: KESIHATAN