BATAM: Gara-gara kejutkan penduduk bangun bersahur menggunakan pembesar suara, seorang lelaki membawa parang panjang ke masjid untuk mengugut jemaah.
Kejadian itu berlaku di Batam, Kepulauan Riau kelmarin sehingga menyebabkan si pelaku ditahan polis bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Lubuk Baja, Budi Hartono memaklumkan, suspek mendakwa tidurnya terganggu selepas jemaah mengejutkan penduduk setempat untuk bangun bersahur menggunakan pembesar suara masjid.
“Suspek mengakui membawa senjata tajam ke masjid untuk mengugut jemaah supaya tidak terlalu bising sehingga mengganggu tidur orang lain.
“Dia malah mengakui tidak mempunyai niat untuk mencederakan mana-mana pihak, cuma mahu beri amaran,” katanya seperti yang dilapor Kompas.com.
Dalam pada itu, Budi menyatakan kes itu sudah diselesaikan antara suspek dengan pihak pengurusan masjid.
Katanya, kedua-dua pihak sudah berbincang dan saling bermaafan.
Kes itu mula mendapat perhatian selepas video suspek membawa senjata tajam ke masjid menjadi tular dalam media sosial.
Dalam video berdurasi 1.55 minit itu, kelihatan seorang lelaki masuk ke dalam masjid sambil mengacukan parang dan memaki hamun jemaah.
Bagi menenangkan keadaan, jemaah cuba berunding dengan suspek dan memintanya menurunkan senjata, namun si pelaku enggan bertolak ansur.
Disebabkan itu, berlaku pergelutan antara beberapa jemaah dan suspek sebelum keadaan kembali reda.
Selepas itu, penduduk setempat menghubungi polis dan suspek ditahan.
Sumber: Utusan Malaysia