Kemanisan Dalam Ujian

| August 9, 2020 | 0 Comments

Kemanisan Dalam Ujian | Assalamualaikum semua. Terima kasih admin jika siarkan confession ni. Bahagia. Semua orang nak bahagia. Tak terkecuali sesiapa pun. Aku nak bicara bahagia dalam konteks rumahtangga. Ini kisah aku.

5 tahun lalu, suami aku curang. Curangnya dengan isteri orang. Siapa
sangka bahagia yang aku rasa selama ni, Allah bagi pinjam 8 tahun ja.

Sebaik sahaja aku tahu dicurangi, macam biasalah kan rasa orang rampas
bahagia kita, meroyan, menangis sampai bengkak-bengkak mata.

Tapi suami aku waktu tu macam tak bersalah je perangainya. Tambahan lagi
keluarga mertua langsung tak membantu nak menasihati anak atau adik dia
orang.

Menyalahkan menantu lagi adalah sebab katanya aku yang tak ikut tinggal
dengan suami sebab kami pjj dah 3 tahun. Walhal selama ni aku layan
mereka macam keluarga sendiri, dia orang pun selama ni baik ja dengan aku.

Pendek kata 8 tahun tu hubungan aku dengan keluarga mertua memang takda
masalah.

Berbalik pada kisah suami aku curang, aku apa lagi masa tu bila dapat
tahu, punya nak mintak balik bahagia aku dengan Allah,

Dua tiga bulan jugak la aku bangun tahajjud, solat hajat, yassin 7
mubin, amal doa itu, amal doa ini. Dengan harapan aku dapat balik
bahagia aku.

Rasa macam b***h dan terhegeh-hegeh ja bila ingat balik. Haha. Tapi tak
apa lah, sekurang-kurangnya aku usaha nak pulihkan rumahtangga aku.

Tapi itulah, Allah tak makbul pun doa aku. Sehinggalah kami bercerai
tahun lepas dengan talak 3. Hah, ambik kau. Dia bagi tiga terus tanpa
aku minta. Haha.

Masa dia lafaz tu, kalau ada yang fikir aku menangis, sebenarnya
langsung tidak. Aku tak menangis. Dia lafaz melalui whatsapp. Dan aku
jawab ‘OK’.

Aku bagitau mak dan keluarga aku yang aku dah diceraikan talak 3 pun
dengan muka aku yang seolah-olah tak ada perasaan. Mungkin sebab aku dah
move on.

So, sekarang hiduplah aku dengan status ibu tunggal kepada anak-anak
lelaki yang comel.

Jadi disinilah point aku sebenar nak cerita pasal bahagia. Benarlah
Allah bagi apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu.

Dulu aku bangun tahajjud mintak Allah pulangkan suami aku. Hanya itu
tujuannya. Dah ada masalah berat baru nak bertahajjud. Ikhlas atau tidak
waktu tu, Allah je yang tahu.

Yang aku fikir masa tu, aku nak doa sangat-sangat minta pada Allah. Aku
nak sangat Allah ikut kehendak aku. Sebab bila suami aku curang, aku
rasa tak bahagia.

Aku nak Allah pulangkan bahagia aku. Tapi Allah tak bagi waktu tu. Allah
biar ja aku lalui banyak perkara pada waktu tu. Banyak benda susah payah
aku hadap dan aku kena selesaikan sendiri.

Kereta rosak atas highway menangis aku depan abang peronda yang datang
bantu. Haha. Rumah aku biarkan bergelap sebab mentol lampu rosak.

Aku tak biasa nak panggil tukang repair lelaki masuk dalam rumah aku.
Tapi sekarang dah repair lah. Paip patah pun aku buka youtube tengok
cara macam mana nak pasang semula. Dan semua tu aku buat sendiri.

Dan dalam keadaan tak sedar, dari ujian yang Allah bagi pada aku waktu
tu, perlahan-lahan aku jadi wanita yang tabah.

Aku ke hulur ke hilir urus itu ini sendirian. Cari nafkah, besarkan
anak-anak. Dari tak tahu isi minyak kereta aku dah pandai isi minyak. Haha.

Dari tak pandai isi angin tayar kereta sekarang pun aku dah pandai. Bab
maintenance kereta pun aku dah pandai jugak.

Kalau pergi bengkel, insyaAllah jangan senang-senang dia orang nak tipu
aku. Semua ni berkat tunjuk ajar adik-adik lelaki kat tempat kerja yang
banyak membantu.

Pandangan kawan-kawan pada aku kini, aku dilihat wanita tabah dan
semangat kental. Kata mereka, jika mereka lalui semua ni, tak tahulah
macam mana mereka nak hadap.

Mereka rasa, mereka tak mampu sekuat aku. Tapi aku selalu nasihatkan
kawan-kawan, jangan pandang aku sebegitu.

Sebab ujian masing-masing tak sama. Dan yang pasti, Allah uji kita
dengan ujian tertentu sesuai dengan kemampuan kita. Allah tak akan bagi
lebih.

Dan Allah bagi ujian begini pada aku, sebab Allah tahu aku mampu nak
lalui walaupun pada awalnya aku rasa lemah, menangis tanpa henti.

Dulu, aku selalu tanya pada Allah diakhir solat, kenapa DIA uji aku begini.

Tapi lama kelamaan aku perlahan-lahan terima yang Allah uji sebab Allah
sayang, dan Allah nak bagi sesuatu yang lebih baik walaupun pada ketika
itu aku tak nampak langsung hikmah disebalik ujian ni.

Jujur aku katakan, sebenarnya sejak aku dah bercerai, aku rasa aku lebih
bahagia dengan anak-anak. Kepala aku dah tak serabut. Hidup aku tenang.

Aku dah tak fikir pasal jodoh baru. Yang aku fikir nak besarkan
anak-anak ja. Aku nak ke mana, nak buat apa, nak makan apa, balik
kampung pun kalau cuti seminggu, seminggulah aku kat rumah mak aku.

Dah tak payah nak bahagi cuti 3 hari rumah mertua, 3 hari rumah mak
sendiri. Nikmat bagi aku. Sekarang baru aku sedar selepas 5 tahun baru
Allah makbulkan doa-doa aku. Dulu aku nak bahagia kan?

Ya, Allah dah bagi bahagia aku dengan cara yang bukan aku mahu tapi
dengan cara apa yang aku perlu. 5 tahun tu lama jugak kan aku nak
menanti bahagia aku.

Itu sebab Allah pesan, bersabarlah dengan ujian. Orang yang sabar pasti
ada kemanisan dipenghujungnya. Jadi, kalian yang sedang diuji dengan
apa-apa ujian, bersabarlah ya. Hikmahnya pasti tiba.

Pada semua pembaca yang membaca confession aku ini, jika kalian masih
punya pasangan yang baik aku doakan kalian sentiasa bahagia hingga ke
akhir hayat.

Pada yang punya pasangan bermasalah, usahalah untuk sama-sama perbaiki
diri. Jika masih gagal untuk perbaiki selepas berusaha, buatlah sesuatu.

Bahagia dan derita ini pilihan, bukan ketentuan. Dan pesanan aku jugak
pada wanita yang bergelar ibu tunggal seperti aku. Perlunya kita untuk
memastikan akhlak dan peribadi kita sentiasa terjaga.

Buat sesuatu ikutlah batas syariat. Sebab aku tak nafikan cabaran
bergelar ibu tunggal. Jika kita tak jaga peribadi kita, tunggu masa ja
orang nak menghina dan pandang rendah dengan status yang kita bawa.

– Melati Putih (Bukan nama sebenar)

 

Kredit: IIUM Confessions

 

Tags: , , , , ,

Category: AGAMA, KELUARGA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *