Kemeriahan Aidilfitri Tanpa PKP Semakin Dirasai! Setelah dua tahun raya bersama Perintah Perkawalan Pergerakan (PKP), kini orang ramai dapat beraya bersama keluarga di kampung halaman masing-masing. Bazar Malam Aidilfitri juga telah kembali bernyawa. Baca seterusnya.

SENAWANG – Lalu lintas sesak, kenderaan beratur panjang dan orang ramai berpusu-pusu.

Itu gambaran awal sebelum memasuki kawasan Bazar Malam Aidilfitri di Dataran Senawang di sini yang kembali ‘bernyawa’ selepas negara memasuki fasa peralihan endemik sejak 1 April lalu.

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk membeli belah pada 9 malam terakhir puasa bagi membuat persediaan sempena menyambut perayaan Aidilfitri yang bakal tiba ketika tinjaun lensa Malaysia Gazette di Bazar Malam Aidilfitri Senawang, Seremban

Jika dua tahun lepas kawasan ini hampir lumpuh kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun kini dipenuhi orang ramai, apatah lagi selepas kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Walaupun umat Islam masih berada dalam bulan Ramadan namun ia tidak menghalang mereka untuk keluar malam mendapatkan barang keperluan khususnya pakaian bagi persediaan di bazar Aidilfitri larut malam di sini.

Dari biskut, kerepek, kuih-muih hingga ke baju tradisional, sama ada untuk lelaki mahupun perempuan, itu antara keperluan yang mendapat permintaan tinggi setiap kali adanya bazar perayaan itu.

Orang ramai tidak perlu lagi turun ke Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) di Kuala Lumpur untuk membuat persiapan raya kerana Bazar Malam Aidilfitri di sini sudah memadai memenuhi keperluan umat Islam malah suasana sama meriah seperti di ibu kota.

Meskipun kemeriahan hari raya semakin dirasai namun pihak kuasa dan penganjur bazar di sini sentiasa mengingatkan orang ramai agar terus mematuhi SOP khususnya mengimbas MySejahtera dan memakai pelitup muka sepanjang berada di kawasan awam.

Kemeriahan bazar perayaan semakin memuncak apabila ada beberapa peniaga membuat jualan lelong seawal jam 10.30 malam tadi dan hanya berakhir 12 tengah malam.

Tidak hairanlah jika jumlah pengunjung semakin bertambah meskipun hari lewat malam dan keadaan ini dijangka berterusan sehingga 29 April ini sebelum Hari Raya Aidilfitri dijangka disambut pada 3 Mei ini.

Sumber: MALAYSIAGAZZETE

Share.

Leave A Reply