Kenal Pasti Pemilik 5 Kenderaan Rosak Tertimbus Tanah Runtuh | Polis sudah mengesan pemilik kepada lima kenderaan yang rosak tertimbus tanah dalam kejadian runtuhan cerun di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali.

Superintendan Suffian Abdullah, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, berkata terdapat tujuh kenderaan di lokasi kejadian dengan lima daripadanya sudah dikenal pasti, manakala dua lagi kenderaan belum diketahui pemiliknya.

Beliau berkata kepada sidang media di lokasi kejadian bahawa lima kenderaan yang dikenal pasti itu masing-masing dua milik mangsa masih hidup dan dua milik mangsa yang meninggal dunia, manakala satu lagi kenderaan milik mangsa yang masih hilang.

Setakat ini, seramai sembilan mangsa masih hilang dikhuatiri tertimbus dalam tanah runtuh, manakala 24 mangsa disahkan terkorban dan 61 berjaya diselamatkan.

Beliau berkata, semua mayat mangsa terkorban sudah selesai dibedah siasat dan dituntut waris serta ahli keluarga masing-masing kelmarin.

Sumber: Berita Harian

 

Artikel Lain

Tanah Runtuh Batang Kali: Tiga Tapak Perkhemahan Ranap Dalam 30 Minit

Siasatan Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati, dua runtuhan cerun berlaku dalam sela masa 20 hingga 30 minit di lokasi kejadian tanah runtuh yang meranapkan tiga tapak perkhemahan Father’s Organic Farm pada awal pagi Jumaat lalu.

Tanah Runtuh Batang Kali: Tiga Tapak Perkhemahan Ranap Dalam 30 Minit

JKR dalam kenyataannya, berkata dapatan awal itu diperoleh Pasukan Forensik dari Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR yang melaksanakan pemeriksaan awal di lokasi kejadian.

Katanya, anggaran dimensi kegagalan cerun adalah 70 meter (m) (ketinggian), 120m (lebar) dan 330m (panjang) dengan anggaran isipadu tanah runtuhan 450,000 meter padu. Mod kegagalan adalah kombinasi retrogressive translational dan aliran puing.

Sambungnya, berlaku dua kegagalan cerun di lokasi yang sama dengan sela masa 20 minit hingga 30 minit di antara keduanya.

Tambahnya lagi, kegagalan cerun yang pertama berkemungkinan besar berlaku di kawasan perkhemahan. Kegagalan itu mengakibatkan kawasan di kaki (toe) cerun jalanraya menjadi lemah, mengakibatkan berlakunya runtuhan susulan (kedua) yang lebih besar.

Katanya dalam satu kenyataan, aliran air bawah tanah yang aktif dikesan di lokasi cerun runtuh terutamanya dalam kawasan tapak perkhemahan.

JKR berkata, pemeriksaan visual pada lokasi jalan dan cerun di seksyen berkenaan mendapati longkang jalan sedia ada dalam keadaan bersih dan kering serta tidak tersumbat, yang mana menunjukkan bahawa tiada masalah pada sistem perparitan jalan.

Jelasnya, bahu Jalan B66 Seksyen 13.0 dari arah Goh Tong Jaya ke Batang Kali telah jatuh dan rosak akibat runtuhan cerun.

Tanah Runtuh Batang Kali: Tiga Tapak Perkhemahan Ranap Dalam 30 Minit

Ujarnya lagi, turut kelihatan rekahan (tension cracks) secara memanjang pada lorong kiri laluan menghala ke Batang Kali, kesan dari runtuhan cerun. Longkang tepi jalan juga didapati telah terputus dan jatuh.

Tambah jabatan itu, berdasarkan hasil penemuan itu, adalah dijangka ketepuan tanah dan tekanan air liang tanah yang tinggi akibat pengumpulan air bawah tanah pada bahagian bawah cerun di kawasan perkhemahan telah melemahkan kaki cerun jalan B66 dan seterusnya menyebabkan kegagalan retrogresif kepada cerun jalan.

Difahamkan, bagi mengelakkan runtuhan susulan, JKR sudah melaksanakan kerja pencegahan pembaikan jangka pendek iaitu menutup segera permukaan cerun yang terdedah dengan tarpaulin sheet.

Katanya, membuat pengalihan air saliran permukaan dan longkang sedia ada dari longkang sebelah kiri ke longkang sebelah kanan untuk mengelakkan air larian masuk ke dalam kawasan runtuhan dan pemasangan tilt sensor bagi pemantauan pergerakan tanah di tapak lokasi berkenaan.

JKR turut memaklumkan pihaknya sentiasa prihatin akan keselamatan dan keselesaan pengguna.

JKR turut memaklumkan tindakan siasatan tanah terperinci dijangka dilaksanakan di tapak sejurus selesai operasi mencari dan menyelamat ditamatkan.

Ujarnya, JKR sentiasa prihatin akan keselamatan dan keselesaan pengguna.

Insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya pada awal pagi Jumaat lalu, setakat ini mengorbankan 24 daripada keseluruhan 94 mangsa, 61 orang selamat dan sembilan masih hilang.

Sumber: Berita HarianĀ 

Share.

Leave A Reply