Kertas Siasatan Kes Neelofa Dan Suami Rentas Negeri, Di Peringkat Akhir | Pihak polis kini sedang membuka kertas siasatan berhubung selebriti sensasi, Neelofa Binti Mohd Nor serta suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail yang didakwa melanggar prosedur standard operasi (SOP) selepas dia dilihat merentas negeri bagi membeli karpet berdekatan Nilai 3, di sini, baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohammad Mat Yusop menerusi Sinar Harian, kertas siasatan kini berada di peringkat akhir dan ia sedang dirujuk kepada pendakwa raya namun terdapat beberapa tindakan yang perlu diambil bagi pihak polis memperkemaskan lagi siasatan berhubung isu tersebut.
Tambahnya lagi, pihak polis masih menunggu dan menjangkakan keputusan akan diperoleh dalam masa terdekat serta memaklumkan keputusan tersebut kepada pihak media sejurus selesai melakukan siasatan.
Pada selasa yang lalu, bekas pengacara MELETOP serta usahawan terkenal Neelofa serta suaminya, Muhammad Haris telah memberi keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai pada jam 2.30 petang sebelum mereka diambil keterangan yang memakan masa lebih 4 jam dan selesai pada jam 6.45 petang.
Keterangan tersebut diambil atas penularan video selebriti tersebut bersama suaminya yang dikatakan berada di sebuah premis menjual karpet di Pusat Perniagaan Nilai 3 serta ia turut mengundang kecaman warganet kerana pasangan ini dilihat seperti ‘kebal’ dari undang-undang yang telah termaktub untuk semua.
Sumber: Sinar HarianĀ