Kes Covid-19 Meningkat, Philadephia Kembali Wajibkan Rakyat Memakai Pelitup Muka. Bermula 18 April ini, Philadephia akan mengembalikan syarat wajib memakai pelitup di tempat awam apabila angka jangkitan Covid-19 meningkat secara drastik di negeri tersebut. Baca selanjutnya.

x

PHILADELPHIA: Negeri ini menjadi yang pertama di Amerika Syarikat (AS) untuk melaksanakan kembali syarat wajib memakai pelitup muka di tempat awam tertutup seperti restoran, sekolah dan premis perniagaan, bermula minggu hadapan.

Pelaksanaan itu dikuatkuasa berikutan gelombang penularan baharu COVID-19 dan Philadelphia adalah bandar utama yang pertama di AS mengembalikan semula mandat berkenaan.

Peraturan baharu itu akan berkuatkuasa bermula 18 April ini selepas angka jangkitan baharu meningkat secara mendadak sehingga 50 peratus bermula April, mendorong Philadelphia meningkatkan langkah pencegahannya.

Pesuruhjaya Kesihatannya, Cheryl Bettigole, berkata kemasukan pesakit ke hospital akibat COVID bagaimanapun kekal stabil.

“Kita berkemungkinan berada di ambang gelombang baharu COVID, seperti apa yang dialami Eropah,”

“Pada kadar jangkitan sekarang, kami percaya tiada sebab untuk panik atau menikmati aktiviti yang kita gemari. Kota kita kekal dibuka,” katanya.

Sebelum ini, Philadelphia melonggarkan mandat pemakaian pelitup muka di tempat terbuka terhadap lebih 1.5 juta penduduknya selepas penurunan kes pada Mac lalu berikutan lonjakan Omicron yang berlaku pada awal tahun.

Philadelphia menerima purata lebih 140 kes sehari, manakala kurang daripada 50 pesakitnya dimasukkan ke hospital.

Sementara itu, dalam tempoh seminggu, kes di Pennsylvania melonjak hampir 70 peratus menjadikannya antara 10 negeri tertinggi dengan kadar penularan yang pantas.

Jangkitan baharu meningkat 10 peratus di AS sejak minggu lalu, didorong oleh subvarian Omicron BA.2 yang lebih mudah berjangkit dan menjadi varian dominan di AS dan tempat lain.

Bagaimanapun kadar kemasukan pesakit ke hospital minggu lalu menurun sebanyak enam peratus.

Kebanyakan negeri di AS melonggarkan pemakaian pelitup muka dan keperluan vaksinasi.

Lebih 986,000 orang meninggal dunia di AS sejak bermulanya pandemik pada awal 2020.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply